Kerajaan disaran perketat proses pelepasan individu di pintu masuk negara

Ayub
Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya memperketatkan proses pelepasan individu atau secara berkumpulan di kaunter pemeriksaan pintu masuk negara bagi mengelakkan unsur sogokan pihak tidak bertanggungjawab.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, cadangan itu berikutan terdapat beberapa kelompangan yang perlu ditambah baik bagi melicinkan prosedur pelepasan warga asing.

“MCPF merasakan kerajaan perlu mengambil suatu tindakan lebih tegas ke atas penjawat awam yang sanggup menerima rasuah demi kepentingan peribadi hingga tergamak bersekongkol dengan sindiket jenayah.

“Ini bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan pelarasan gaji sektor awam yang mana penjawat awam bukan sahaja perlu meningkatkan kualiti dari aspek prestasi tetapi lebih penting mereka wajib beramanah, berintegriti dan tidak sesekali terlibat dengan amalan rasuah serta mengkhianati negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan berjaya membongkar modus operandi ‘kaunter khas’ susulan penangkapan pegawainya yang menjadi tali barut kepada sindiket kemasukan warga asing ke negara ini.

Sindiket terbabit dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kemasukan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal secara tidak sah.

Ayub berkata, kerajaan turut disyor supaya mewujudkan mekanisme pintar bagi mengesan dan mencegah isu sama berulang serta melaksanakan penyeliaan ketat dalam mengendalikan kemasukan warga asing.

Ujarnya, kaedah Kod Respons Pantas (QR), MyTRIP yang mula diguna pakai bagi pelepasan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula 1 Jun lalu dapat diperluaskan kepada warga asing di semua pintu masuk negara secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil contoh kaedah sama yang dipraktikkan Singapura menerusi aplikasi MyICA dan beberapa negara di Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui e-visa, pengautomasian ini mampu mengurangkan kebergantungan sistem pelepasan manual warga asing serta menggalakkan pembayaran visa secara dalam talian,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!