Apakah hukum berlumba siput sedut?

HARUS bertanding perlumbaan siput sedut jika tidak melibatkan judi dan penyeksaan terhadap haiwan itu. Gambar hiasan/Foto CANVA
HARUS bertanding perlumbaan siput sedut jika tidak melibatkan judi dan penyeksaan terhadap haiwan itu. Gambar hiasan/Foto CANVA
A
A
A

DUA tiga hari ini, satu pertandingan perlumbaan haiwan iaitu siput sedut disiarkan secara langsung oleh seorang pengguna media sosial TikTok menjadi bualan orang ramai.

Masakan tidak, siaran langsung pertandingan haiwan yang bergerak dengan perlahan itu ditonton lebih 20,000 pengguna TikTok yang dibuat sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Siaran yang disiarkan melalui TikTok @tansri_ash itu dilihat melakukan acara tersebut secara santai bermodalkan tudung periuk dan penonton mengakui terhibur dan leka dengan gelagatnya.

Tangkap layar sesi 'live' perlumbaan siput sedut di Tiktok @tansri_ash pada Rabu.
Tangkap layar sesi 'live' perlumbaan siput sedut di Tiktok @tansri_ash pada Rabu.

Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, apakah boleh diadakan pertandingan lumba siput sedut tersebut? Apakah ia tidak menyeksa haiwan berkenaan?

Tampil menjawab isu tersebut, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali dengan PU Salman menjelaskan, hukum pertandingan perlumbaan haiwan termasuk siput sedut adalah harus.

“Ulama menghukumkan harus pertandingan sebegitu sebab Nabi Muhammad SAW sendiri mempunyai unta yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan:

“Nabi SAW ada seekor unta diberi nama al-‘Adhba’, ia tidak pernah tewas atau hampir tak pernah tewas. Masuk pertandingan menang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pada satu ketika, ada seorang Arab Badwi berlawan unta dengan Nabi Muhammad SAW dan unta Baginda kalah dalam pertandingan itu.

PU SALMAN
PU SALMAN

PU Salman kemudiannya membacakan hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata:

“Unta Rasulullah SAW diberi nama al-‘Adhba’, dan unta itu tidak pernah bertanding dalam pertandingan perlumbaan. Kemudian seorang Badwi datang menunggang untanya lalu berjaya mengalahkan unta milik Nabi. Maka hal ini membuat kaum muslimin berasa terganggu dan mereka berkata: “Al-‘Adhba’ telah dikalahkan.” Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya adalah menjadi hak ke atas Allah SWT untuk tidak mengangkat sesuatu perkara di dunia kecuali satu masa ia akan berada di bawah (berputar seperti roda).”

Menurutnya lagi, hukum perlumbaan haiwan adalah dibolehkan namun tidak melibatkan pertaruhan.

“Jika masing-masing ada mengeluarkan duit dan pemenang pertandingan mengambil semua duit tersebut, itu haram.

“Selagi mana tidak memukul dan menyeksa haiwan tersebut, ia dibolehkan. Malahan ada ulama yang menyatakan harus untuk memukul kuda yang dipertandingkan untuk menjadikan ia lebih laju,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!