Mayat lelaki bogel ditemui dalam parit, dipercayai dibunuh

Mayat lelaki bogel dengan kesan luka tumpul pada bahagian kepala dan badan ditemukan dalam parit di belakang sebuah kedai di Pekan Lama Nilai di sini pada Jumaat.
Mayat lelaki bogel dengan kesan luka tumpul pada bahagian kepala dan badan ditemukan dalam parit di belakang sebuah kedai di Pekan Lama Nilai di sini pada Jumaat.
A
A
A

NILAI - Mayat lelaki bogel dengan kesan luka tumpul pada bahagian kepala dan badan ditemukan dalam parit di belakang sebuah kedai di Pekan Lama Nilai di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat terbabit jam 12.25 tengah hari daripada orang awam.

"Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki terbabit di dalam parit belakang kedai Saravana TVC Store.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati lelaki itu dipercayai warga asing yang mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berambut pendek, bertubuh sederhana dan tinggi lebih kurang 165 sentimeter," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan dipercayai berusia lingkungan 30-an.

Tambahnya, si mati dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang 24 jam.

"Pemeriksaan pada tubuh si mati mendapati ada kesan luka tumpul di bahagian kepala dan beberapa bahagian tubuh lain.

"Dia disyaki telah dibunuh dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang ahli keluarga atau kenalannya hilang diminta tampil ke balai polis berhampiran.

"Pihak polis juga memohon bantuan orang ramai untuk berikan maklumat bagi membantu siasatan dan mengesan individu terlibat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Deputi Superintenden Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-800 5225 atau balai polis berhampiran, " katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!