Motosikal bergesel, pekerja kedai makan maut

Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan. Foto Ihsan polis
Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan. Foto Ihsan polis
A
A
A

SETIU - Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di di Kilometer 67 Kampung Saujana, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, berkata, mangsa, Ahmad Faris Mohd Azmi, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu kira-kira jam 6 petang.

Motosikal ditunggang mangsa terlibat dalam kemalangan. Foto ihsan polis
Motosikal ditunggang mangsa terlibat dalam kemalangan. Foto ihsan polis

"Kejadian itu melibatkan kemalangan dua motosikal iaitu jenis Honda EX-5 yang dinaiki mangsa manakala motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang seorang lelaki berusia 20 tahun.

"Mangsa dan seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 itu dalam perjalanan dari Machang, Kelantan menghala ke Penarik, Setiu dan mereka berada di lorong pemanduan yang sama.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 membrek secara mengejut dan telah bergesel dengan mangsa yang datang dari arah belakang.

"Kejadian membrek secara tiba-tiba itu disebabkan sebuah kereta yang berada di hadapan mereka telah membelok ke kanan jalan untuk memasuki simpang di lorong sebelah kanan jalan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di lokasi kejadian.

Selain itu, katanya penunggang motosikal Yamaha Y15 berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk urusan bedah siasat.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!