'Tolong selamatkan ibu saya!’ - Anak mangsa tanah jerlus
KUALA LUMPUR - "Tolong selamatkan ibu saya!" Itu rintihan anak sulung mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, yang tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ibunya di lokasi.
Difahamkan, anak sulung mangsa dikenali Surya, 26, yang berbaju kemeja putih baharu tiba dari Thailand dan hadir ke tempat kejadian kira-kira jam 9.20 malam ini.
Anak lelakinya kemudian ditenangkan oleh bapanya dan keluarga yang berada di lokasi kejadian, sebelum beredar ke lokasi lain
Mangsa, Vijayaletchumi, 48, difahamkan datang melancong ke Malaysia dan dijangka pulang ke negara asalnya esok.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff dilihat tiba di kejadian pada jam 8 malam dan sempat bertemu dengan suami mangsa.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, mangsa dipercayai dibawa oleh arus deras bawah tanah.
Katanya, operasi SAR telah meliputi kawasan hujung bawah tanah dan ia memerlukan perancangan rapi kerana membabitkan infrastruktur awam.
Setiap tindakan yang diambil perlu berstrategi dan dirancang rapi demi menjaga keselamatan orang awam serta pasukan penyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!