Peniaga di Masjid India boleh beroperasi seperti biasa - Datuk Bandar KL

Maimunah pada sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, pada Jumaat.
Maimunah pada sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga di sekitar Masjid India, di sini boleh menjalankan operasi perniagaan seperti biasa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pihaknya dan agensi berkaitan sentiasa memantau lokasi sekitar bagi mengelakkan insiden tanah jerlus berulang.

"Kawasan berkenaan adalah selamat dan terkawal selepas disahkan sendiri oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Aktiviti perniagaan boleh beroperasi seperti biasa," katanya selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus, pada Jumaat.

Maimunah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian seorang wanita warga India terjatuh akibat tanah jerlus, pihaknya membuat semakan jajaran utiliti bawah tanah di sekitar kawasan kejadian sebelum mengesan laluan paip kumbahan bersaiz 1.5 meter diameter.

"Hasil semakan itu, proses pengesanan mangsa pada jajaran saluran paip kumbahan dilakukan sejak jam 4 petang tadi namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

"Pada masa ini kami (DBKL), bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergerak sebagai satu kumpulan bekerja keras untuk mencari dan seterusnya menyelamatkan mangsa," katanya.

Beliau turut merakamkan rasa simpati kepada keluarga mangsa terutama suaminya yang berada di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Saya ucapkan simpati kepada keluarga mangsa, difahamkan mangsa dan suaminya akan berlepas pulang ke India, esok (Sabtu).

"Kita akan memberikan segala bantuan kepada keluarga mangsa termasuk keperluan tempat tinggal di sini sepanjang operasi mencari dilakukan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!