Rafizi kongsi formula percuma, wakil rakyat pembangkang boleh amalkan

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Formula turun padang untuk bertemu penduduk melalui kaedah kaunter bergerak boleh diamalkan oleh wakil rakyat termasuk parti pembangkang.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, amalan berkenaan telah diamalkan sebelum beliau bergelar wakil rakyat.

“Formula saya berjumpa orang ramai di kawasan Parlimen adalah formula lama yang saya telah amalkan sebelum jadi ahli Parlimen lagi.

“Formula ini percuma dan boleh diamalkan oleh semua wakil rakyat, terutamanya pembangkang,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, Facebook pada Jumaat.

Rafizi berkata demikian susulan menjawab persoalan orang ramai yang mempertikai tindakan beliau mengadakan kaunter bergerak di kawasan Parlimennya.

Menerusi video berkenaan, Rafizi turut menegaskan bahawa tindakannya itu adalah hak terhadap penduduk Pandan susulan beliau merupakan wakil rakyat mereka.

“Itu hak penduduk Pandan ke atas saya sebagai wakil rakyat. Kenapa nak disusahkan penduduk datang ke pejabat untuk mengadu masalah mereka kerana satu daripada amanah adalah membantu menyelesaikan masalah harian mereka.

“Masalah harian penduduk selalunya berkait dengan jabatan kerajaan. Selain berurusan terus dengan jabatan itu, orang ramai juga boleh memohon bantuan daripada wakil rakyat untuk berurusan bagi pihak mereka,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Rafizi menasihati penyokong pembangkang untuk tidak mempertikai formula khidmat berkenaan kerana ia telah dibuktikan berkesan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!