Nazirul Amsyar pacu SMK TTDI Jaya ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18

Kamal (barisan belakang, kiri) bersama pemain-pemain SMK TTDI Jaya sebelum perlawanan separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 menentang SMK Bukit Jelutong pada Jumaat.
Kamal (barisan belakang, kiri) bersama pemain-pemain SMK TTDI Jaya sebelum perlawanan separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 menentang SMK Bukit Jelutong pada Jumaat.
A
A
A

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) selepas mengatasi SMK Bukit Jelutong dalam pertarungan yang diklasifikasikan derbi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana.

Dua gol Muhammad Nazirul Amsyar Zulkifly pada separuh masa kedua membolehkan skuad bimbingan Kamal Lahami meneruskan momentum positif dengan mengatasi anak buah Muhammad Izzuddin Mohamad Razi, 2-0 dalam aksi separuh akhir di padang Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28, Shah Alam.

Mengulas kemenangan itu, Kamal bersyukur, semua pemain telah bermain dengan baik dan mengikuti segala perancangan pasukan.

"Semangat juang untuk ke perlawanan akhir jelas tergambar dalam aksi separuh akhir hari ini.

"Begitupun SMK Bukit Jelutong tetap menghadirkan ancaman namun berjaya dinafikan disiplin tinggi bahagian pertahanan SMK TTDI Jaya yang diketuai kapten Aqil Rusyaidi Mazahar, selain ketangkasan Mirza Luqman Roslan mengagalkan dua percubaan bahaya SMK Bukit Jelutong," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Kemenangan itu membolehkan SMK TTDI Jaya berdepan juara edisi 2022, SMK Shah Alam dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selasa depan

SMK Shah Alam menewaskan SMK Dato' Harun, 2-0 hasil jaringan Vincenzo Oliveo D'dozzel dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!