Piala FA antara JDT dan Selangor FC
PERTEMBUNGAN antara Johor Darul Ta’zim menentang Selangor FC dalam aksi Piala FA pada hari ini menjadi perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.
Umum mengetahui ‘perseteruan’ berlaku antara kedua-dua pasukan bukan perkara baharu, namun disebabkan timbul pelbagai kontroversi baru-baru ini telah mengundang kehangatan arena bola sepak negara.
Pada 5 Mei lalu, bintang Selangor FC, Faisal Halim diserang oleh individu yang tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disimbah asid.
Malang yang menimpa Faisal itu seolah-olah melumpuhkan Selangor FC kerana ‘tidak hadir’ pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT.
Ekoran itu, Selangor FC berdepan dengan pelbagai ‘dugaan’ antaranya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenakan denda terhadap pasukan berkenaan dan beberapa pegawai didakwa menerima ancaman jenayah.
Hal berkenaan telah membangkitkan suasana hangat dalam kalangan peminat bola sepak yang menyifatkan tindakan MFL yang mengenakan denda terhadap Selangor FC sebagai tidak berperikemanusian.
Isu itu bukan sahaja mendapat perhatian orang ramai malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan kemurkaan terhadap keputusan terbaharu MFL serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung isu penarikan diri pasukan Selangor FC pada perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.
Sultan Selangor bertitah, baginda terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 serta berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor selain menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor.
Susulan itu, MFL bertindak mengurangkan hukuman dengan membatalkan dua tindakan yang dikenakan terhadap Skuad Merah Kuning antaranya denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000.
Selain itu, pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.
Ekoran kontroversi yang menimpa Selangor FC dan JDT ini telah merancakkan liga bola sepak negara dan menjadikan pertemuan kedua-dua pasukan ini dalam aksi final Piala FA sebagai saingan yang paling dinantikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!