Operasi SAR mangsa terjatuh akibat tanah jerlus ditangguhkan

Rusdi ketika ditemui pada sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, pada Sabtu.
Rusdi ketika ditemui pada sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam lubang tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, pada Jumaat terpaksa ditangguhkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia susulan keadaan cuaca hujan lebat serta persekitaran yang gelap menyukarkan operasi pencarian dilakukan.

"Operasi tersebut ditangguhkan pada jam 12.30 tengah malam tadi dan akan diteruskan pada 9 pagi ini.

"Kita telah ambil masa panjang untuk selamatkan (mencari) mangsa dan pasukan skuba juga telah masuk ke lokasi itu. Setakat ini (mangsa) masih gagal dikesan," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, pencarian di lokasi mangsa jatuh juga telah dilakukan secara 100 peratus.

"Pasukan menyelamat berdepan dengan cabaran iaitu arus deras dan terdapat gas selain air kumbahan yang boleh membahayakan pasukan skuba.

"Setakat ini, kita berjaya menemukan sepasang selipar milik mangsa yang terapung selepas kawasan itu dikorek," katanya.

Rusdi berkata, lokasi sekitar tempat kejadian dilaporkan selamat setakat ini namun orang ramai perlu mengurangkan pergerakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan ketatkan kawalan di lokasi ini dan orang ramai diminta kurangkan pergerakan dan berjaga-jaga," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam berkata, pihaknya akan membantu usaha mencari dan menyelamat dengan membuka setiap jurang pembetungan di sepanjang tujuh kilometer jajaran saluran pembetungan sehingga sampai ke loji rawatan kumbahan di Pantai Dalam, di sini.

“Kita akan ke hilir dan buka setiap jurang pembetungan dan kita akan teliti setiap jurang itu. Kita sudah mula buka tengah hari tadi tapi tidak jumpa apa-apa.

“Kalau ada, mangsa akan sangkut di 'inter pump station', namun setakat ini tiada,” katanya.

Beliau berkata, badan manusia memang berkemungkinan dihanyutkan ke dalam saluran pembetungan itu kerana ia berdiameter 1.5 meter dan hujungnya berdiameter lebih 3 meter.

“Ia memang paip yang besar kerana menampung seluruh kumbahan sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!