UMNO boleh 'bangkit' pada PRU16 jika terus gabung bersama PH

UMNO mesti tunjuk kepada rakyat bahawa parti itu boleh kembali meraih kepercayaan orang Melayu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mazlan
UMNO mesti tunjuk kepada rakyat bahawa parti itu boleh kembali meraih kepercayaan orang Melayu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mazlan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO boleh kembali meraih sokongan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika terus mengekalkan gabungan bersama Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpendapat, gabungan itu berpotensi membuka peluang kepada UMNO bertanding di kerusi majoriti Melayu.

“Saya jangka UMNO boleh bertanding di 70 kerusi Melayu, ini boleh beri ruang kepada parti itu untuk kembali menjadi parti yang mendapat sokongan orang Melayu.

“Melihat kepada situasi politik sekarang, sukar untuk UMNO menang (kesemua), tetapi jika UMNO dapat bawa pendekatan seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, tak mustahil UMNO boleh menang banyak kerusi,” katanya.

Mazlan yang juga Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia berkata, bagi memenangi semula hati pengundi, UMNO terlebih dahulu perlu bermuhasabah dan membetulkan segala isu negatif yang terpalit.

“UMNO mesti tunjuk kepada rakyat bahawa parti itu boleh kembali meraih kepercayaan orang Melayu,” katanya.

Selain itu, dakwa beliau, faktor kemerosotan sokongan berkemungkinan disebabkan orang Melayu tidak lagi memilih UMNO sebagai satu-satunya parti pilihan.

“Kita lihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas adalah kemuncak kemerosotan UMNO di mana parti itu mengalami kekalahan teruk di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan UMNO menghadapi krisis yang paling ketara iaitu ahlinya sendiri telah berpaling tadah,” dakwa beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) menang di PRK DUN Nenggiri dengan lebih 3,000 majoriti adalah sesuatu yang luar biasa dan telah memberi harapan baharu kepada UMNO.

“PRK Nenggiri telah membuktikan kewibawaan UMNO di mana kawasan yang mempunyai 90 peratus majoriti Melayu dimenangi dengan majoriti yang begitu meyakinkan.

“Saya percaya UMNO boleh bangkit,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!