Hubungi pelancong tiba di Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu lebih proaktif dengan membuat tindakan susulan dengan menghubungi pelancong pulang dari negara berisiko wabak cacar monyet ataupun Mpox demi mencegah penularan penyakit itu.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashir berkata, KKM disyorkan hubungi pelancong selepas tujuh hari tiba di tanah air melalui panggilan telefon untuk mengingatkan mereka ke klinik kesihatan berhampiran untuk membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, pihak berkenaan diminta membuat sedemikian tanpa menunggu pelancong yang mempunyai simptom datang ke klinik kesihatan memandangkan mereka mungkin tidak menyedari terdedah kepada penyakit itu.

“Kerajaan telah ambil langkah saringan kepada pelancong di pintu masuk negara untuk mencegah wabak Mpox, namun pelancong yang pulang dari negara berisiko dan ada kes Mpox mungkin tidak menunjukkan simptom seperti demam.

“Penyakit itu tidak menunjukkan simptom dalam tempoh cepat dan hanya menunjukkan tanda selepas tempoh tertentu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelas beliau, penyakit ini merebak melalui sentuhan terutama ciuman ataupun hubungan seksual yang mana ia agak berbeza dari Covid-19.

Hanafiah berpandangan, kerajaan dan KKM telah mengambil tindakan dan melakukan usaha terbaik untuk mencegah penularan wabak mpox dalam negara, malah tiada kes direkodkan di Malaysia setakat ini.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, KKM mengambil langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko jangkitan Mpox terutama peningkatan survelan di PMA (pintu masuk antarabangsa) berdasarkan garis panduan terbaru dikeluarkan pada Ogos.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan, langkah kawalan diambil Malaysia juga dilihat tidak jauh berbeza dengan tindakan saringan diambil Singapura.

“Antaranya saringan di pintu masuk bagi pengembara dari negara mempunyai kes dan nasihat untuk mereka memantau kesihatan selama 21 hari setelah tiba,” katanya.

Safiya memberitahu, langkah diambil lain termasuk pengesanan awal kes melalui saranan pemeriksaan kepada golongan berisiko tinggi dan saringan pesakit bergejala di fasiliti kesihatan seterusnya notifikasi segera ke Pejabat Kesihatan Daerah bagi kes disyaki bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat dimulakan awal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!