Tanam anggur, strawberi tampung kos pengurusan pusat tahfiz

Muhammad menunjukkan buah anggur yang mula berbuah di Taman Anggur dan Strawberi Darul Zahraa di Kampung Dura, Hulu Terengganu.
Muhammad menunjukkan buah anggur yang mula berbuah di Taman Anggur dan Strawberi Darul Zahraa di Kampung Dura, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebuah pusat tahfiz di Kampung Dura, di sini mengambil pendekatan mengusahakan tanaman anggur dan strawberi sebagai inisiatif bagi menampung kos pengurusan dan operasi institusi pendidikan tersebut.

Pengasas Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran, Muhammad Abdullah, 34, atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Mad Kecik berkata, tanaman yang dimulakan sejak September tahun lalu itu telah mula mengeluarkan hasil dan akan melalui proses tuaian pertama awal September depan.

"Pada 1 September nanti kita akan adakan kuliah duha di tempat khas dekat dengan kawasan tanaman anggur atas bangunan tiga tingkat kompleks tahfiz ini.

"Kita jemput orang ramai untuk menikmati pemandangan dan melihat secara lebih dekat tanaman anggur, strawberi serta beberapa inisiatif lain yang diusahakan di sini," katanya ketika ditemui pemberita di pusat tahfiz tersebut, baru-baru ini.

Muhammad (kiri) bersama kakitangan pengurusan Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran, Mohd Nasrun Abdullah menunjukkan buah anggur yang mula berbuah di Taman Anggur dan Strawberi Darul Zahraa di Kampung Dura, Hulu Terengganu.
Muhammad (kiri) bersama kakitangan pengurusan Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran, Mohd Nasrun Abdullah menunjukkan buah anggur yang mula berbuah di Taman Anggur dan Strawberi Darul Zahraa di Kampung Dura, Hulu Terengganu.

Menurut Muhammad, setakat ini terdapat 50 varieti anggur serta 11 varieti strawberi yang diusahakan dengan peruntukan kos kira-kira RM50,000.

"Apabila tanaman ini telah stabil, kita akan lakukan beberapa aktiviti seperti jualan anak pokok strawberi dan anggur, bekalan baja serta menyediakan kursus intensif secara berkala kepada peminat tumbuhan ini,"ujarnya.

Tidak hanya bergantung harap kepada sumbangan, Muhammad berkata, perancangan strategik diatur bagi memastikan kompleks tahfiz itu dapat menjana ekonomi sendiri sekali gus melancarkan proses pembangunan dan operasi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini, pusat tahfiz yang beroperasi di atas tanah berkeluasan 12 hektar itu turut mengusahakan tanaman pelbagai jenis herba, tembikai serta menternak ikan sangkar dan kolam terdiri daripada talapia, baung dan patin.

"Kita juga sedang tanam rumput untuk menjalankan projek ternakan lembu dan kibas dalam masa terdekat. Selain itu, kita juga telah membuka kedai makan berdekatan madrasah ini yang boleh dikunjungi oleh orang ramai," ujarnya.

Muhammad berkata, setiap satu perusahaan akan dikendalikan oleh seorang tenaga pengajar dari pusat tahfiz tersebut bagi memastikan ia dapat berkembang dengan baik.

Muhammad menunjukkan antara pokok strawberi yang telah mengeluarkan hasil.
Muhammad menunjukkan antara pokok strawberi yang telah mengeluarkan hasil.

"Setiap bulan kita memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi menampung keseluruhan perbelanjaan pusat tahfiz ini sebab itulah kita perlu memastikan ada cabang perniagaan baik dari segi pertanian atau ternakan bagi menampung ekonomi kita.

"Selepas beroperasi sejak empat tahun lalu, kita telah mempunyai seramai 15 tenaga pengajar, 78 pelajar lelaki serta 20 warga emas yang duduk di sini untuk belajar dan mendalami ilmu agama," katanya.

Sementara itu, Pengurus Taman Anggur, Bedin Jusoh, 61, berkata, tanaman anggur dan strawberi sesuai dengan iklim di Malaysia kerana memerlukan pencahayaan yang mencukupi.

"Sebenarnya tanaman pokok jenis ini tidak memerlukan cuaca sejuk, ia hanya perlu cahaya yang cukup selebihnya bergantung kepada teknik penjagaan terutama dari segi pembajaan dan air bagi memastikan ia dapat berbuah lebat.

"Untuk tanaman di madrasah ini, kita akan pastikan ia dapat menghasilkan buah sepanjang tahun di mana ia akan melalui tiga peringkat pengeluaran hasil.

"Apabila setiap satu peringkat telah dituai, akan ada lagi pokok-pokok seterusnya yang akan berbuah dan proses ini akan berulang," jelasnya

Muhammad (kanan) bersama Bedin meninjau taman strawberi di Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran dekat Kampung Dura, Hulu Terengganu.
Muhammad (kanan) bersama Bedin meninjau taman strawberi di Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran dekat Kampung Dura, Hulu Terengganu.

Bedin berkata, pada musim tengkujuh, proses tersebut terpaksa dihentikan memandangkan berlaku perubahan cuaca dan cahaya matahari berkurangan

"Strawberi dan anggur yang ditanam di tanah rendah adalah antara yang paling manis kerana kita mempunyai cahaya yang cukup, cuma kita perlu berdepan musim tengkujuh.

"Bagi tanaman ini, pembinaan bumbung di kawasan ia tumbuh berfungsi sebagi pelindung daripada terkena hujan," katanya.

Bedin yang berpengalaman selama enam tahun dalam tanaman anggur berkata, seramai lapan pekerja ditugaskan untuk menjaga tanaman yang terbahagi kepada dua blok itu.

"Kita ada dua blok untuk tanaman anggur di mana setiap blok keluasannya 160 x 35 kaki. Untuk strawberi pula kita tanam menggunakan konsep hidroponik di atas tanah seluas 60 x 40 kaki.

"Pokok anggur dan strawberi sensitif terhadap serangan serangga perosak dan kulat sebab itu ia perlu dijaga dengan teliti menggunakan baja khusus digunakan bagi memastikan ia mengeluarkan buah yang bersaiz besar dan manis," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!