Drama dinasti politik Indonesia makin panas
JAKARTA - Penggubal undang-undang Indonesia membuat pusingan U apabila membatalkan rancangan kontroversi untuk mengubah peraturan pilihan raya selepas ribuan penunjuk perasaan membantah langkah itu yang didakwa akan membantu Presiden Joko Widodo atau Jokowi membina dinasti politik beliau.
Jurucakap Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Sufmi Dasco Ahmad memaklumkan perbincangan tentang perkara itu akan diteruskan pada sidang akan datang, bermakna ia tidak akan terpakai untuk pemilihan pada tahun ini atau di bawah pentadbiran Jokowi yang bakal menamatkan penggal perkhidmatan-nya pada Oktober depan.
“Kita tidak akan teruskan rang undang-undang (RUU) Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada). Pendaftaran calon adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Konstitusi (MK),” ujarnya.
Sesi DPR yang tergesa-gesa pada Rabu gagal untuk meratifikasi RUU Pilkada tersebut berikutan tidak mencapai kuorum kerana hanya 15 peratus daripada 575 anggota hadir.
Difahamkan, keputusan itu memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya dua pertiga anggota DPR.
Siri protes disertai kumpulan penuntut universiti dan pekerja di ibu kota Jakarta menjadi tidak terkawal apabila penunjuk perasaan mula bertempur dengan pasukan keselamatan yang terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan mereka.
Sebahagian daripada mereka membakar tayar dan mercun sambil melaungkan slogan mengutuk Jokowi.
Keadaan semakin kecoh apabila sekumpulan peserta protes bertindak mengalihkan sekatan di sekeliling bangunan DPR dan cuba menyerbu masuk ke kompleks berkenaan.
Tunjuk perasaan sama turut dilaporkan di Yogyakarta, Makassar, Bandung dan Semarang.
“Saya sertai demonstrasi ini kerana negara ini berada di ambang kemusnahan. Penggubal undang-undang telah menipu rakyat,” kata Muhammad Saleh Zakaria, 64.
MANIPULASI BERTERUSAN
Kemarahan golongan itu semakin memuncak beberapa bulan selepas Gibran Rakabuming Raka, 36, yang merupakan anak sulung Jokowi dilantik sebagai Wakil Presiden (Wapres) paling muda, sekali gus menimbulkan dakwaan tentang wujudnya nepotisme iaitu amalan mementingkan ahli keluarga.
Pada Pilkada akan datang, Kaesang Pangarep, 29, pula dikhabarkan akan menyandang jawatan penting di Jawa Tengah pada pemilihan dijadualkan 27 November depan yang akan mengukuhkan lagi legasi Jokowi dalam politik Indonesia.
Sekutu Presiden ketujuh Indonesia itu didakwa berusaha mencari jalan untuk mengubah had umur 30 tahun yang ditetapkan terhadap calon bertanding.
Percubaan sedemikian menyebabkan rakyat semakin kecewa dengan Jokowi yang mahu mengekalkan pengaruhnya.
“Rakyat berang atas manipulasi berterusan terhadap sistem demokrasi negara ini. Terdapat keinginan yang jelas untuk mengukuhkan kuasa,” kata pakar politik di hab penyelidikan data dan demokrasi Monash University, Ika Idris.
Sementara itu, pejabat Presiden cuba meredakan pergolakan tersebut.
“Kerajaan berharap tiada penyebaran maklumat tidak tepat atau fitnah yang telah mencetuskan kekacauan dan keganasan ini,” kata jurucakapnya, Hasan Nasbi.
JOKOWI AKUR
Pada Selasa, Jokowi menjelaskan beliau menghormati institusi negara itu di tengah-tengah drama politik semakin meningkat berikutan sekutunya cuba untuk membalikkan keputusan MK yang mengubah kriteria kelayakan calon Pilkada.Kenyataan tersebut dibuat beliau ketika ‘perebutan kuasa’ jarang berlaku antara DPR dan badan kehakiman dengan penggubal undang-undang yang berpihak kepada Jokowi serta bakal penggantinya, Prabowo Subianto.
Ia berpunca daripada keputusan MK yang membenarkan pengkritik lantang kedua-dua pemimpin itu, Anies Baswedan untuk bertanding jawatan Gabenor Jakarta.
Sekutu Jokowi-Prabowo dikatakan menyokong calon tunggal, bekas Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil untuk bertanding jawatan itu yang pernah dipegang Anies pada 2017-2022 memandangkan tiada parti memegang jumlah kerusi diperlukan untuk mencalonkan beliau.
Namun, MK memutuskan untuk menurunkan peratusan minimum kerusi ditetapkan, sekali gus membuka peluang kepada Anies bertanding semula.
Mahkamah sama turut mengekalkan had umur minimum 30 tahun terhadap calon yang menyebabkan Kaesang tidak layak untuk bertanding.
Tindakan menghalang Anies yang tewas kepada Prabowo ketika Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada Februari lalu dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan beliau mendapat ‘tapak’ bagi bertanding semula jawatan Presiden pada 2029.
Sebelum ini, Anies dengan lantang menuduh Prabowo dan Jokowi berpakat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka kerana adanya Gibran, namun dakwaan itu disangkal kedua-dua pemimpin tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!