Gara-gara sup tumpah, penjual mi celup menderita kaki melecur

Nur Maslizatul Haslinda kini terlantar di rumah akibat kecederaan lecur yang dialami.
Nur Maslizatul Haslinda kini terlantar di rumah akibat kecederaan lecur yang dialami.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang wanita penjual mi celup melecur betis, paha kiri dan kedua-dua kaki selepas periuk berisi sup yang sedang menggelegak tertumpah ketika membuat persediaan untuk mula berniaga.

Kejadian yang menimpa Nur Maslizatul Haslinda Harun, 21, itu berlaku pada jam 12 tengah hari, 26 Julai lalu menyebabkan dia kini terlantar di rumah kerana sukar untuk berjalan.

Menceritakan kejadian tersebut, Nur Maslizatul Haslinda yang merupakan anak sulung berkata, ketika itu dia memasak sup dalam periuk berukuran 20 sentimeter di warung yang diusahakan bersama ibunya, Mastura Abd Rahman, 39, di Kampung Kubang Kuau, Rantau Panjang, di sini.

Nur Maslizatul Haslinda
Nur Maslizatul Haslinda

“Sedang saya membasuh tangan di sinki yang terletak sebelah periuk, tiba-tiba periuk itu terbalik kerana bata yang digunakan untuk melapik kaki dapur beralih kedudukan dan senget.

“Sup panas dalam periuk itu terus tumpah, kena pada paha serta kedua-dua kaki saya. Masa itu, saya merasa kaki terlalu panas lalu berlari ke bilik air dan mencucurkan air paip ke bahagian kaki yang terkena sup,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurutnya, ketika itu dia meraung-raung menangis kerana kepanasan dan menanggalkan seluar yang dipakai.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kaki Nur Maslizatul Haslinda akibat tertumpah sup panas.
Keadaan kaki Nur Maslizatul Haslinda akibat tertumpah sup panas.

Waktu kejadian itu, adik lelakinya, Mohd Faris Danish, 17, ada di warung manakala ibu mereka keluar membeli nasi untuk makan tengah hari di kedai tidak jauh dari warung mereka.

“Melihat saya yang tidak henti meraung, Mohd Faris terus menghidupkan motosikal dan pergi mendapatkan ibu di kedai nasi berkenaan.

“Sebaik ibu tiba, saya dibawa ke Hospital Lati dengan kereta untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang serta diarah untuk ke Klinik Kesihatan setiap hari bagi mencuci luka,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nur Maslizatul Haslinda, dari hari ke hari kesan cedera lecurnya makin berair.

Nur Maslizatul Haslinda mendapat rawatan di ICU HRPZ II, Kota Bharu.
Nur Maslizatul Haslinda mendapat rawatan di ICU HRPZ II, Kota Bharu.

Dia seterusnya mengalami demam dan jangkitan kuman sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) seterusnya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga minggu.

“Saya menjalani pembedahan menampal isi dari paha kiri ke paha kanan yang melecur. Kini, masih lagi dalam proses rawatan dan perlu menjalani fisioterapi.

“Sejak kejadian itu, saya tidak dapat berniaga manakala ibu juga sama kerana terpaksa menjaga saya yang sakit,” katanya.

Mereka menerima bantuan modal permulaan perniagaan RM3,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan untuk memulakan berniaga mi celup terbabit baru enam bulan lalu dan kini kembali sukar apabila tidak dapat meneruskan perniagaan kerana keadaan Nur Maslizatul Haslinda yang memerlukan bantuan bagi proses pemulihan.

Mastura pula perlu menampung keperluan mereka sekeluarga termasuk anak bongsu, Mohd Al Amin Arddi, 7, yang bersekolah darjah satu di Sekolah Kebangsaan Kubang Kuau.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agro Bank) Mastura Abd Rahman 2006612000111436.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!