Dengar, lihat, rasai kandungan al-Quran

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi. Gambar kecil: Mohamad Zarifi
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi. Gambar kecil: Mohamad Zarifi
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga elemen penting berkaitan nilai kemerdekaan dan keamanan akan diangkat pendakwah, Mohamad Zarifi Mohamad Daud pada Malaysia #QuranHour 2024, Jumaat minggu depan.

Menurutnya, ia selaras dengan tema yang dibawa iaitu Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara bagi mendalami erti sebenar Rukun Negara menerusi Surah Al-Jumu’ah dan Al-Hujurat.

“Tentunya penonton dapat mendengar, melihat dan merasai kandungan terutamanya ayat al-Quran yang kita tadabbur dan kaitannya dengan nilai kemerdekaan, keamanan yang telah kita nikmati selama ini,” katanya pada Khamis.

Ujarnya, isi terkandung dalam Surah Al-Jumu’ah antara lain memberi peringatan kepada manusia agar tidak lupa menunaikan kewajipan solat walaupun sibuk mencari rezeki dan menjalankan tugas sebagai khalifah.

“Dalam ayat sembilan, ALLAH SWT menyatakan perintah untuk solat Jumaat bagi lelaki, jadi kita perlu bawa agenda solat dalam kehidupan kita.

“ALLAH SWT perintahkan kepada kita untuk tinggalkan aktiviti jual beli apabila masuk waktu solat.

“Perintah ini mesti dikembangkan dalam kehidupan kita untuk menyempurnakan solat lima waktu,” jelasnya.

Mohamad Zarifi yang juga pentadabbur Malaysia #QuranHour 2024 berkata, ALLAH SWT menyatakan apabila selesai solat, maka manusia akan bertebaran ke segenap penjuru dunia untuk mencari kurniaan-Nya.

Artikel Berkaitan:

“Ini agenda besar yang kita nak bawa dalam masyarakat iaitu apabila kita jaga solat, maka rahmat ALLAH SWT akan mencurah,” ujarnya.

Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut memberitahu bahawa menerusi Surah Al-Hujurat pula, manusia dilarang untuk menggelarkan orang lain dan melakukan umpat keji.

“Kedua-dua surah ini membawa makna besar terutamanya erti kehambaan kita.

“Surah Al-Hujurat mengajar kita akhlak bermasyarakat yang perlu dijaga kerana bimbang ia semakin terhakis,” katanya.

Mohamad Zarifi berkata, dalam usaha memastikan perpaduan dan keharmonian terus kekal, prinsip Rukun Negara perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat.

“Inilah cabaran yang sedang diambil serius oleh pucuk pimpinan negara, khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggerakkan agenda membangun Malaysia Madani,” katanya.

Malaysia #QuranHour 2024 akan berlangsung selama sejam bermula 10 pagi di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya pada 30 Ogos ini.

Ia turut diadakan serentak di seluruh negara dengan penyertaan dibuka kepada segenap lapisan masyarakat.

Pendaftaran bagi penglibatan secara fizikal dan hotspot dibuka kepada umum dengan mendaftar di laman sesawang https://quranhour.onpay.my/order/form/registrationmqh2024.

Dalam pada itu, Muhammad Zarifi turut memuji usaha Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat sejak 10 tahun lalu telah menghasilkan gelombang besar di negara ini.

“Pihak WUIF telah menggerak kebudayaan dan kefahaman mengenai al-Quran secara profesional dan terancang.

“Ada hala tuju dan pelan tindakan serta jaringan. Ini kekuatan yang dijana oleh WUIF,” ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!