Baki Zainal menang cabaran 'Sejuta Dolar' GoPro
SHAH ALAM - Pengacara terkenal, Baki Zainal melakar sejarah tersendiri di peringkat global apabila memenangi cabaran video 'Sejuta Dolar' yang dianjurkan syarikat kamera video lasak, GoPro.
Kejayaan tersebut sekali gus membanggakan negara apabila video miliknya merupakan antara 56 video daripada 42,000 video penyertaan dari 104 negara yang berjaya menawan hati juri.
Menerusi video yang dikongsi GoPro, pihak terlibat menampilkan cabaran video ‘Sejuta Dolar' dan seramai 45 peserta yang juga pemilik kepada 56 video tersebut mendapat wang tunai melibatkan nilai keseluruhan sebanyak AS$1 juta (RM4,085,361.02) atau AS$22,222 (RM90,800.94) setiap seorang.
Kesemua video terpilih milik peserta dari 17 negara itu telah dirakam menggunakan HERO8 Black + Max.
Sementara itu, melalui video Baki Zainal, dia dilihat teruja bermain gelongsor air di Escape, Pulau Pinang yang turut dikongsinya di media sosial dan kini tular dengan meraih 1,921 tanda suka.
"Tahniah Baki Zainal, gambar anda ini telah memberi pendedahan kepada masyarakat luar negara dalam mengenali Malaysia. Banyaknya duit beri pada pemenang. Nak ikut serta tak mampu nak beli Go Pro," tulis Samad Daud di Instagram.
Zainal Pilus pula memberitahu, "Wow, banyak duit yang Zainal menang selepas terpilih oleh Go Pro, tahniah Zainal atas kemenangan itu. Bagi aku, benda ini mampu mengharumkan nama Malaysia sebab satu dunia yang sertai pertandingan itu."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!