[VIDEO] Gema Al-Jumu'ah di pantai Marina Island

A
A
A

LUMUT - Buat julung kalinya, alunan bacaan surah Al-Jumu'ah bergema di pantai Marina Island di sini bersempena Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, pada Jumaat.

Biarpun pada awalnya penganjurannya cuaca hujan disertai angin kencang, ia tidak langsung mematahkan semangat kira-kira 60 peserta dari Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh untuk hadir bersama-sama mengalunkan bacaan surah Al-Jumu'ah itu.

Ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh mengalunkan bacaan Surah Al-Jumu'ah sempena Program Malaysia #QuranHourdi Marina Island di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Rafidah (kiri), Mei Looi
Ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh mengalunkan bacaan Surah Al-Jumu'ah sempena Program Malaysia #QuranHourdi Marina Island di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Rafidah (kiri), Mei Looi

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie mengakui penganjuran kali ini cukup mencabar disebabkan cuaca yang tidak begitu mengizinkan tetapi berkat kesabaran serta keyakinan kepada ALLAH, ia berjaya diadakan dengan kerjasama pihak pengurusan Marina Island.

Sebahagian ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang menyertai Program Malaysia #QuranHourdi Marina Island di sini pada Jumaat.
Sebahagian ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh yang menyertai Program Malaysia #QuranHourdi Marina Island di sini pada Jumaat.

"Semua pihak terutama Marina Island memberikan kerjasama yang baik. Walaupun keadaan cuaca pada awalnya tidak mengizinkan, namun apabila kita mulakan bacaan surah Al-Jumuah, cuaca cantik dan ALLAH tolong.

"Alhamdulillah, ALLAH ilhamkan saya untuk mencari kelainan. Saya juga ada hubungan yang baik dengan pihak Marina Island dan mereka juga setuju. Walaupun Malaysia #QuranHour kemuncaknya diadakan pada 30 Ogos, kami awalkan penganjurannya di sini kerana masih di dalam bulan Ogos, bulan kemerdekaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Malaysia #QuranHour di Marina Island di sini pada Jumaat.

Marhaini menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 60 orang peserta yang hadir menyertai Program Malaysia #QuranHourdi Marina Island di sini anjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh pada Jumaat.
Marhaini menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 60 orang peserta yang hadir menyertai Program Malaysia #QuranHourdi Marina Island di sini anjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Al-Jumu'ah menyatukan ummah

Bagi pentadabbur, Rafidah Mohammad, pemilihan Surah Al-Jumu'ah sebagai surah pilihan bagi sambutan Malaysia #QuranHour pada tahun ini amat penting untuk dihayati terutama dari aspek penyatuan ummah.

Jelasnya, bersempena ambang kemerdekaan, kekuatan dan nilai yang ada di dalam Surah Al-Jumu'ah harus digunakan untuk menyatukan umat Islam selain menghayati firman ALLAH SWT di dalam surah berkenaan bagaimana langit, bumi serta makhluk-makhluk bertasbih memuji-Nya.

"Kita bersyukur kerana dikurniakan alam yang cantik di mana jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Palestin dan sebagainya, mereka ada tempat-tempat yang cantik tetapi berlaku kemusnahan.

"Kita sekarang ini di ambang merdeka, jadi kita gunakan kekuatan surah Al-Jumu'ah ini untuk satukan ummah kita terutama bagi orang lelaki apabila seruan azan solat Jumaat itu, kita datanglah beramai-ramai ke masjid dengan tujuan utama untuk mengukuhkan perpaduan beramai-ramai berjemaah ingat pada ALLAH, jadi kita akan jadi kuat," katanya.

Al-Quran jadikan rakyat Malaysia saling menghormati

Peserta Program Malaysia #QuranHouranjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di Marina Island di sini merakam kenangan pada Jumaat.
Peserta Program Malaysia #QuranHouranjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di Marina Island di sini merakam kenangan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Marina Island, Ding Mei Looi mengakui teruja dengan pengajuran pertama kali bagi Malaysia #QuranHour di premis mereka.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat korporat di Teluk Muroh di sini, pihaknya sentiasa mengalu-alukan program-program seumpama itu tambahan pula mengaji merupakan tabiat yang amat baik untuk mengingatkan diri setiap orang Islam supaya berbuat baik dan berfikiran positif.

"Kami sangat mengalu-alukan dan sangat menggalakkan program seumpama ini. Jadi apabila Rumah Ngaji beritahu hendak mengaji di sini, ia sesuatu yang luar biasa, jadi kami menyokong aktiviti dan program mengaji ini. Bagus ada peluang seperti ini di Marina Island.

"Mengaji bukan sahaja di rumah-rumah ibadah tetapi di mana-mana sahaja yang sesuai, bila rasa hendak mengaji, itulah tempatnya. Kita saling hormat-menghormati agama lain walaupun saya bukan Islam tapi kita faham tentang agama itu penting untuk semua orang agar mereka boleh refleks diri, pemikiran dan perbuatan untuk menjadi rakyat Malaysia yang matang dalam apa-apa jua tindakan," katanya.

Semarak semangat Malaysia #QuranHour

Marhaini (depan, tengah) menyerah naskhah terjemahan al-Quran sebagai cenderahati kepada Mei Looi selepas selesai Program Malaysia #QuranHouranjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di Marina Island di sini, pada Jumaat.
Marhaini (depan, tengah) menyerah naskhah terjemahan al-Quran sebagai cenderahati kepada Mei Looi selepas selesai Program Malaysia #QuranHouranjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di Marina Island di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff menyifatkan penganjuran program Malaysia #QuranHour oleh Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di Marina Island sesuatu yang luar biasa.

Jelasnya, penganjuran lebih awal program tersebut menyemarakkan lagi semangat untuk lebih ramai peserta hadir ke program kemuncak Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini.

Menurutnya, sasaran peserta pada program kemuncak nanti mencecah sehingga 5,000 orang selain penganjuran di 3,000 lokasi hotspot di seluruh negara termasuklah oleh rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

"Kalau kita lihat apa yang dibuat oleh Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di Marina Island ini kita rasa ia sesuatu usaha menyemarakkan lagi kemuncak Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos.

"Paling penting juga sebenarnya luar biasa bukan setakat rasa nak buat di sini tetapi pasukan Rumah Ngaji Teluk Muroh akan ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan ini merupakan semangat yang besar daripada warga Malaysia," katanya.

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!