Ribuan penduduk di Muallim terputus bekalan air, elektrik

Saarani (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan runtuhan jambatan di Jalan Slim River-Behrang Ulu pada Sabtu.
Saarani (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan runtuhan jambatan di Jalan Slim River-Behrang Ulu pada Sabtu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Ribuan penduduk di daerah Muallim terputus bekalan air dan elektrik susulan kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, gangguan bekalan air berlaku sejak semalam melibatkan 70 peratus daripada keseluruhan 12,000 pengguna akaun Lembaga Air Perak (LAP).

Menurutnya, perkara itu berlaku berikutan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting di Ulu Slim yang pecah dan kerosakan pada paip utama akibat jambatan runtuh.

"Kita akan lakukan kerja pembaikan kepada kerosakan yang berlaku tetapi dalam tempoh sementara ini, LAP telah mengambil tindakan dengan menghantar bekalan air kepada penduduk melalui lori tangki," katanya selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir Lokman Abd Rahim.

Saarani berkata, memandangkan keadaan loji utama telah pecah, LAP akan menggunakan muka sauk loji rawatan kedua di Sungai Slim yang berperanan sebagai loji simpanan bagi tujuan pembekalan air kepada penduduk.

Bagaimanapun katanya, proses itu akan melibatkan beberapa kerja baik pulih dan pemeriksaan agar loji berkenaan dapat digunakan sebaiknya.

"Loji sedia ada memang tidak boleh pakai kerana telah pecah, tetapi kita ada satu loji rawatan di Sungai Slim yang boleh diguna pakai.

Artikel Berkaitan:

"LAP akan mengambil tindakan segera untuk memulihkan bekalan kepada penduduk terlibat dan dalam masa lihat semula apa yang patut kita lakukan kepada loji yang pecah itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seramai 175 individu membabitkan 42 keluarga yang terjejas dalam insiden itu telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda dan di Masjid Jamek Slim Village yang dibuka jam 8.30 dan 11 malam pada Jumaat.

Katanya, sepanjang penempatan penduduk di PPS, polis akan melakukan rondaan berkala di kawasan terjejas sebagai jaminan keselamatan dan mengelakkan berlakunya jenayah pecah rumah.

"Selepas ini kita akan masuk ke fasa kedua iaitu menentukan kediaman penduduk yang ditinggalkan sementara berada dalam keadaan selamat dan tiada pencerobohan.

"Jadi, saya nasihatkan semua penduduk yang terlibat agar kunci rumah dan bawa barang berharga bersama ke PPS untuk keselamatan," katanya.

Kampung yang terjejas membabitkan Kampung Orang Asli Sungai Bil; Kampung Sungai Bil; Kampung Lintah, Kampung Piong; Kampung Baru Slim Village; Kampung Sungai Muda dan Kampung Ulu Slim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!