Momentum pengukuhan ringgit dijangka berterusan minggu depan

Ringgit dijangka meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, didorong oleh isyarat Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai potensi penurunan kadar faedah pada September. Gambar hiasan
Ringgit dijangka meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, didorong oleh isyarat Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai potensi penurunan kadar faedah pada September. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, didorong oleh isyarat Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai potensi penurunan kadar faedah pada September.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan itu dijangka terus meningkat dan berkemungkinan diniagakan pada paras 4.3650 hingga 4.3750 berbanding dolar AS.

"Data penting yang perlu ditumpukan pada minggu depan adalah Indeks Harga Perbelanjaan Peribadi AS (PCE) bagi Julai merangkumi keseluruhan dan teras yang dapat memberi gambaran lebih tepat mengenai hala tuju dolar AS.

"Setakat ini, inflasi keseluruhan dan teras PCE Jun masing-masing susut kepada 2.5 peratus dan 2.6 peratus," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Kenanga Investment Bank Bhd juga menjangkakan aliran masuk modal berterusan ke Malaysia, didorong oleh prospek domestik yang kukuh, kelembapan ekonomi AS dan potensi pelonggaran dasar monetari global yang kesemuanya berpotensi merangsang pergerakan ringgit.

Menerusi nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata terdapat bukti yang menunjukkan kepada ekonomi AS perlahan, inflasi menurun dan sentimen kadar rendah daripada Fed boleh terus menjejaskan indeks dolar AS, berpotensi mengekalkannya pada paras 101.0 - dapat memberi manfaat kepada ringgit.

"Susulan ketidaktentuan membabitkan pengurangan kadar faedah Fed - dari segi skala dan kekerapan, selain pendekatan bank pusat yang dipacu oleh data, pengumuman data penting AS pada minggu depan, terutama teras PCE, akan diikuti rapat oleh pasaran,” katanya.

Pengerusi Fed Jerome Powell, dalam ucapan pada Jumaat, memberikan petunjuk yang jelas bahawa penurunan kadar faedah AS yang telah lama dinantikan dijangka akan berlaku pada bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Ogos lepas, ringgit mencecah paras tertingginya dalam tempoh 18 bulan iaitu 4.3805, didorong oleh kebimbangan mengenai potensi penurunan kadar faedah AS.

Ringgit juga telah mencatat peningkatan sebanyak 5.01 peratus berbanding dolar AS, setakat ini.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.3720/3775 berbanding dolar AS daripada 4.4295/4350 yang dicatatkan seminggu lepas.

Unit tempatan itu bagaimanapun, diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Walaupun meningkat berbanding euro pada paras 4.8604/8665 daripada 4.8680/8741, ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain pada 5.7391/7463 daripada 5.7167/7238, rendah berbanding yen Jepun pada 2.9914/9956 daripada 2.9792/9833, seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3410/3454 daripada 3.3582/3627 dan mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 282.1/282.7 daripada 282.2/282.7.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.7575/7810 daripada 12.6445/6656 dan rendah berbanding peso Filipina pada 7.75/7 pada minggu lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!