Jambatan Bailey dibina ganti jambatan runtuh

Jambatan Bailey akan dibina sebagai kemudahan sementara kepada penduduk dan pengguna Jalan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village pada Jumaat.
Jambatan Bailey akan dibina sebagai kemudahan sementara kepada penduduk dan pengguna Jalan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village pada Jumaat.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jambatan Bailey akan dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk dan pengguna Jalan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village di sini pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerja pembinaan akan dimulakan pada Sabtu dan dijangka siap dalam tempoh lima hari.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, penduduk terlibat masih boleh menggunakan laluan alternatif lain terletak agak jauh yang menghubungkan ke jalan utama.

"Saya dimaklumkan tadi orang sebelah sana (Bandar Behrang) nak ke sini (Kampung Slim Village) masih ada laluan untuk membolehkan mereka berhubung, hanya jauh sedikit.

"Cuma nanti timbul masalah sebab ada pelajar yang berada sebelah sini (Kampung Slim Village) yang bersekolah di seberang sana, maknanya mereka kena cari alternatif untuk pergi sekolah (sementara Jambatan Bailey siap)," katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir Lokman Abd Rahim.

Saarani berkata, setakat ini, Jambatan Bailey hanya dipertimbangkan dibina di jambatan struktur konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua lagi jambatan yang runtuh merupakan jalan kampung dan akan dipantau agensi berkaitan melalui bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB).

"Keutamaan kita berikan kepada jalan negeri kerana ini laluan utama, tetapi untuk jambatan lain saya minta Pengarah PLB untuk melihat keadaan itu," katanya.

Kejadian yang berlaku mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri manakala dua lagi merupakan jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim yang mempunyai lebar 7.5 meter dan panjang 77 meter runtuh selepas mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!