90 NADI di Perak menjelang hujung tahun

Mohd Azlan (berdiri, kanan) melihat hasil kerja peserta selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran MCMC Microsoft AI Teach Peringkat Negeri Perak di Hab Inovasi dan Multimedia, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.
Mohd Azlan (berdiri, kanan) melihat hasil kerja peserta selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran MCMC Microsoft AI Teach Peringkat Negeri Perak di Hab Inovasi dan Multimedia, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Perak akan mempunyai 90 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang lengkap menjelang hujung tahun ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, jumlah NADI sedia ada di Perak sebelum ini sebanyak 71 buah.

Menurutnya, sebanyak 19 buah lagi NADI baharu diluluskan untuk diwujudkan di negeri ini yang mana 11 buah sudahpun siap manakala baki lapan sedang disiapkan.

"Pada awal tahun kita dapat peruntukan untuk wujudkan 19 lagi NADI baharu. Sebanyak 11 NADI sudah siap dan kita menunggu lapan lagi yang belum siap untuk kita lancarkan secara serentak.

"Menjelang hujung tahun ini kita akan ada sebanyak 90 NADI di seluruh Perak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MCMC Microsoft AI Teach Peringkat Negeri Perak di Hab Inovasi dan Multimedia, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah SKMM Perak, Mohd Irwan Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir; Ketua Pegawai Perkhidmatan Sokongan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Muhammad Syazwan Amarjit Abdullah dan Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melaksanakan program berkaitan di luar NADI.

Menurutnya, agak sukar untuk mewujudkan NADI di setiap kampung namun dengan memperluaskan perkhidmatan NADI di sekitarnya dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengenai Program MCMC Microsoft AI Teach, Mohd Azlan berkata, seramai 208 peserta terpilih di negeri ini bagi mengikuti program pembangunan kapasiti kecerdasan buatan (AI).

"Program ini dapat memperkenalkan kemahiran teknologi AI kepada rakyat Perak secara mudah dan berkesan.

"Bukan itu sahaja, ia tetapi turut membantu kumpulan B40, golongan orang kurang upaya (OKU) dan penganggur dengan mengurangkan jurang kerjaya melalui pengajaran dan pembelajaran set kemahiran digital yang baharu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang giat bekerjasama dengan SKMM dan pemain industri untuk memudah cara dan mempercepat inisiatif-inisiatif Bandar Pintar di Bandar raya Ipoh melalui Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Perak 2040.

Program MCMC Microsoft AI Teach dilaksanakan selama dua hari melibatkan beberapa lokasi iaitu di Hab Inovasi dan Multimedia Digital Perak, UTP serta dua NADI terpilih masing-masing di NADI Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 dan NADI Taman Klebang Utama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!