Konsep perkongsian kuasa langkah tepat, wajar diteruskan - Nie Ching

Nie Ching (tengah) bersama peserta para program Johor Jaya Run 2024 di Dewan Raya Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada Sabtu.
Nie Ching (tengah) bersama peserta para program Johor Jaya Run 2024 di Dewan Raya Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Konsep perkongsian kuasa seperti diamalkan pada masa kini membabitkan gabungan politik merupakan langkah tepat dan wajar diteruskan pada masa depan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, kerjasama yang dijalin mencerminkan konteks politik Malaysia yang baik pada hari ini.

"Saya sambut baik ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, berhubung UMNO akan meneruskan konsep perkongsian kuasa.

"Saya percaya gabungan politik ini adalah norma baharu di Malaysia. Sebagai rakan dalam gabungan politik ini saya akan selalu membantu," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata demikian pada program Johor Jaya Run 2024 di pekarangan Dewan Raya Bandar Seri Alam di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Jementah, Ng Kor Sim dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dilaporkan berkata, UMNO akan meneruskan konsep perkongsian kuasa seperti yang diamalkan sehingga kini dalam memastikan kelangsungan parti itu mendepani perubahan landskap politik semasa.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata, amalan perkongsian kuasa itu juga tepat pada masanya dalam keadaan tiada gabungan politik yang boleh menjadi kerajaan tanpa perlu bergabung.

Artikel Berkaitan:

Katanya yang juga Timbalan pengerusi DAP Johor, amalan perkongsian kuasa amat sesuai dengan budaya berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Ia seperti nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong, yang menang tidak menang semuanya dan yang kalah tidak kalah semuanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!