Chalet musafir percuma di Masjid Perwira Jaya

Azman menunjukan Chalet Musafir Perwira Jaya yang dibina bagi memudahkan urusan individu yang bermusafir
Azman menunjukan Chalet Musafir Perwira Jaya yang dibina bagi memudahkan urusan individu yang bermusafir
A
A
A

ROMPIN - Bukan hanya tempat mengerjakan ibadah, sebaliknya Masjid Perwira Jaya, Felda Selancar 1 di sini, turut menawarkan penginapan percuma pada individu yang bermusafir di kawasan sekitarnya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Perwira Jaya, Azman Ismail, 58, berkata, usaha itu dilakukan bagi mencontohi masjid mesra musafir pertama di Kedah iaitu, Masjid Al-Busyra Merbok.

Azman
Azman

Justeru, menurutnya, sebanyak empat chalet disediakan membolehkan musafir beristirahat sebelum perjalanan seterusnya.

“Jadi, saya berharap Masjid Perwira Jaya juga dapat menjadi seperti Masjid Al-Busyra terbabit dan sebagai permulaannya, kami membina chalet musafir ini.

“Chalet musafir ini boleh ditumpangi mana-mana keluarga atau orang perseorangan yang datang bermusafir di Felda Selancar 1 secara percuma,” katanya pada Sabtu.

Difahamkan chalet yang dinamakan Chalet Musafir Perwira Jaya itu mula dibuka kepada orang ramai sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Hampir hampir 200 pengunjung yang bermusafir telah menginap di situ.

Artikel Berkaitan:

Azman memberitahu, chalet itu dibina hasil infaq ramai dan setiap satu unit dianggarkan bernilai RM16,000.

“Saya harap dengan menyediakan penginapan secara percuma ini dapat menarik lebih ramai orang mengunjungi Masjid Perwira Jaya.

“Saya juga berhasrat untuk menjadikan masjid ini sebagai pusat sehenti untuk orang ramai dengan beberapa perancangan lain, tetapi ia akan direalisasikan selangkah demi selangkah,” jelasnya.

Azman menambah, chalet ini siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai sejak selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Ujarnya, hampir setiap minggu ada tetamu yang menginap di situ tanpa sebarang bayaran.

"Kami ada sediakan tabung sumbangan dan terpulang kepada pengunjung untuk sama ada mahu menyumbang atau tidak.

"Tapi pernah, kami terima sumbangan sebanyak RM400 dari seorang tetamu yang menginap di situ," katanya.

Sementara itu, kontraktor pembinaan chalet berkenaan, Wan Adzri Ismail, 39, pula berkata, chalet berkeluasa 12x16 kaki itu dilengkapi dengan penghawa dingin, katil dan tandas.

Wan Adzri
Wan Adzri

“Kalau ikutkan kos sebenar lebih tinggi, tapi niat saya adalah untuk sama-sama menyumbang kepada pembinaan chalet ini.

"Jadi saya tidak mengambil sebarang keuntungan,” katanya yang merupakan anak generasi kedua Felda Selancar 1 dan telah 18 tahun terlibat dalam bidang pembinaan bangunan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!