'Muhyiddin masih bermimpi mahu jadi Perdana Menteri'

Muhyiddin Yassin, Chin Tong
Muhyiddin Yassin, Chin Tong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa masih bermimpi mahu menjadi Perdana Menteri apabila berterusan memperkatakan tentang peristiwa penubuhan kerajaan pada November 2022.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkata, peristiwa yang terus diperkatakan itu disifatkan sebagai cerminan menyedihkan tentang fantasi yang tidak kesampaian.

Chin Tong turut mendakwa PN kini sedang mengalami kemerosotan berpunca daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama sikap Muhyiddin yang masih terperangkap dalam kepompong jawatan Perdana Menteri yang pernah dijawat dalam masa singkat sebelum ini.

"Antara punca membawa kepada kemerosotan PN adalah Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilihat masih terjebak dan terperangkap dalam kemegahan masa lalunya sebagai Perdana Menteri dalam masa singkat sekali gus tidak dapat bergerak ke depan melepasi fasa itu.

"Muhyiddin masih bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Beliau terus memperkatakan tentang peristiwa penubuhan Kerajaan pada November 2022, sekali gus menyebabkannya mempersoalkan keputusan rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

"Ia adalah cerminan menyedihkan tentang fantasi yang tidak kesampaian," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum PRK Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Ogos lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilaporkan menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kekuatan Bersatu hari ini, hanyalah bersandarkan kepercayaan ahlinya bahawa Muhyiddin boleh membuat kemunculan semula sebagai Perdana Menteri.

"Idea ini (Muhyiddin kembali sebagai PM) telah menyebabkan PN berjaya memenangi 74 daripada 22 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan bantuan Pas.

"Bagaimanapun, idea untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak lagi mampu menyelamatkan parti itu lagi.

"Apatah lagi, Pas telah melahirkan pemimpin meningkat naik, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar, sebagai calon Perdana Menteri yang seterusnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!