JKR serah Hospital Bachok kepada JKNK awal September ini
TANAH MERAH - Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka akan menyerahkan bangunan Hospital Bachok kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) awal September ini.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin bagaimanapun berkata, semua itu bergantung kepada JKR.
"Jika penyerahan berjalan lancar, kita dapat beroperasi sebulan dari tarikh tersebut.
"Setakat ini perolehan aset kita telah laksanakan, Hospital Bachok boleh beroperasi sekiranya diberi masa dalam sebulan setengah apabila diserahkan," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir pada Karnival Promosi Kesihatan, Hari Terbuka Hospital Kluster Kelantan Barat dan Program Kelantan Sihat Peringkat Hospital Tanah Merah di sini yang dirasmikan oleh Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Helmi Abdullah.
Menurut beliau, dari segi kakitangan sebahagian perjawatan sudah diisi dan mereka tidak berdepan masalah untuk beroperasi.
Katanya, Hospital Bachok akan diklusterkan dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Dr Zaini memberitahu, pakar dari HRPZII akan membuat lawatan dan perkhidmatan secara berulang di Hospital Bachok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!