[VIDEO] Operasi pencarian diteruskan di enam lurang kumbahan

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Operasi pencarian mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, memfokuskan enam lurang kumbahan, pada Sabtu.

Enam lurang kumbahan itu di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, tindakan ini diambil hasil perbincangan dilakukan bagi meluaskan lokasi pencarian sebelum mengambil keputusan membuka enam lurang kumbahan berkenaan.

Beliau berkata, dipercayai kemungkinan mangsa tersangkut atau berada di laluan lurang terbabit.

"Kerja-kerja pencarian masih dijalankan dan kita doakan ada petunjuk untuk tindakan seterusnya

"Kita harap semua (masyarakat) bagi kerjasama untuk pihak berkuasa melakukan kerja-kerja pencarian dan pengunjung serta peniaga dinasihatkan tutup sementara premis untuk mengelakkan gas keluar dari lurang kumbahan hingga boleh merisikokan kesihatan," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian dekat sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kuala Lumpur, M Fatta M Amin.

Sulizme Affendy dalam sidang akhbar perkembangan terkini operasi mencari mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sulizme Affendy dalam sidang akhbar perkembangan terkini operasi mencari mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sulizme berkata, terdapat paras air kira-kira 0.9 meter agak deras di laluan kumbahan dan jarak antara lurang pertama dan kedua sekitar 100 meter.

Katanya, seorang anggota ditugaskan melakukan pencarian di lurang terbabit dengan dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) akibat risiko gas di lokasi berkenaan (bawah tanah).

"Pasukan penyelamat hari ini akan menggunakan segala kepakaran dan teknologi daripada agensi terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Tambah beliau, operasi ini dijalankan mengikut peringkat antara lurang pertama hingga keenam bagi mengelakkan risiko tidak diingini kepada anggota penyelamat.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keselamatan di sekitar Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi dan pada masa sama pihak DBKL telah menjalankan kajian lanjut struktur tanah.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!