PAU 2024: 'Ini bukan tugas yang mudah'

Dr Muhamad Akmal Saleh
Dr Muhamad Akmal Saleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Strategi dan pendekatan berbeza akan digunakan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bagi mengekalkan kerusi Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, PRK DUN Mahkota mempunyai cabaran berbeza daripada PRK DUN Nenggiri dan sudah tentu tugas itu bukan mudah.

Menurutnya, mereka akan menggalas tanggungjawab dengan baik selain memastikan calon itu mempunyai ciri-ciri pemimpin selain mampu berkhidmat untuk rakyat.

“Mana-mana tempat mempunyai cabaran berbeza saya tidak kata Nenggiri mudah, Mahkota susah. Bagi saya semua sama cuma bagi saya metodologi atau kaedah itu yang berbeza.

“Jika di Nenggiri kita mahu rampas kerusi itu daripada pembangkang, tetapi di Mahkota kita mahu mempertahankan kerusi jadi sudah tentu kaedahnya berbeza. Ini bukan tugas yang mudah sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu.

Sebelum ini, kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota, Johor pada 28 September.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Akmal, UMNO dan BN perlu mengemukakan calon yang mampu membawa perubahan.

Tambah beliau, rakyat mahukan wakil rakyat yang mampu menjaga kebajikan masyarakat di kawasan tersebut.

“Kalau UMNO atau BN boleh mengemukakan mana-mana calon yang boleh berkhidmat saya percaya tanpa mengira agama dan bangsa rakyat pasti akan pilih mereka yang mampu berkhidmat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!