Boleh bekerjasama tapi pastikan UMNO tidak rugi - Veteran UMNO

Gambar kecil: Othman Desa
Gambar kecil: Othman Desa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan UMNO perlu memastikan parti tidak rugi dalam rundingan untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, ia penting untuk menjamin masa depan parti yang penuh dengan nilai sejarah dan perjuangan ini.

“Veteran UMNO secara prinsip tidak ada masalah dengan keputusan kepimpinan tertinggi parti yang memberi bayangan bahawa kemungkinan UMNO tidak bergerak solo bagi menghadapi pilihan raya umum nanti atau dalam bahasa mudahnya akan bekerjasama dengan parti-parti lain.

“Ini kerana kita sedar dengan perubahan semasa politik yang dinamik dan berbeza berbanding dahulu. Buktinya tiada parti politik yang boleh bergerak solo untuk membentuk kerajaan dan memerlukan kita berkawan.

“Jadi, dalam hal ini kita di pihak veteran menyokong apa sahaja keputusan kepimpinan tertinggi tetapi dalam masa sama perlu diingat bahawa apa sahaja rundingan yang bakal dibuat, UMNO boleh rugi terutamanya dalam pembahagian kerusi.

“Ia penting untuk memastikan UMNO tidak dilihat hanya mengikut keputusan pihak lain dan melukut di tepi gantang yang akhirnya membantutkan usaha parti kembali bangkit,” katanya kepada Sinar Harian ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bergerak solo dalam menghadapi PRU16 akan datang bagi mengelakkan berlaku pertindihan kerusi dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebagai salah sebuah parti dalam kerajaan, kerjasama sesama parti wajar dilaksanakan dengan menghormati kerusi tradisi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Othman menambah, kepimpinan parti juga perlu memberi jaminan prinsip dan perjuangan asal UMNO tidak sesekali terhakis dengan kerjasama itu nanti.

Sementara itu, beliau dalam masa sama turut menggesa agar pandangan dan nasihat veteran diambil kira sebelum sesebuah keputusan yang akan diambil parti nanti.

“Mendapat banyak nasihat lebih baik daripada hanya memutuskan dalam satu pakatan tertentu sahaja. Jadi, kita harap suara veteran juga diambil kira demi kebaikan bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!