Mahkamah tetapkan 25 Februari ketahui status representasi Riza Aziz

Riza Aziz - Foto Bernama
Riza Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 25 Februari depan bagi mengetahui jawapan berhubung keputusan representasi yang dikemukakan anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwaraya, Norzilati Izhani Zainal ketika ditemui media selepas sebutan kes berkenaan di kamar Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob di sini hari ini.

Norzilati berkata, peguam bela mewakili Riza telah menghantar representasi yang lebih lengkap pada 23 Januari lalu berhubung kes ini.

"Representasi kali ini dihantar bagi mendapatkan keterangan lebih jelas mengenai pertuduhan terhadap pihak berkenaan.

"Kami juga memohon untuk mendapatkan tarikh lain bagi menyemak dan mempertimbangkan representasi berkenaan.

"Sebelum ini pada 18 November lalu, sudah ada satu representasi dihantar, namun masih tiada keputusan," katanya kepada media.

Norzilati berkata, pada 25 Februari ini juga mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes terbabit.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam mewakili Riza, Datuk Hariharan Tara Singh.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menetapkan lapan hari bermula 6 Januari tahun ini untuk perbicaraan kes ini.

Riza didakwa atas lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), lapan tahun lalu.

Pada 5 Julai lalu, Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan terbabit.

Tuduhan itu melibatkan wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd (Good Star) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penerbit filem ‘Wolf of The Wall Street’ itu akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Riza Aziz, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil kegiatan haram masing-masing berjumlah AS$1,173,104 dan AS$9 juta.

Ia dilakukan melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123284291 milik Red Granite Production Inc.

Wang berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan itu di City National City Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS, masing-masing antara 12 April dan 12 Mei 2011 serta 10 September dan 10 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, Riza Aziz didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil kegiatan haram masing-masing berjumlah AS$133 juta, AS$60 juta dan AS$45 juta.

Ia dipindahkan daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano ke akaun BSI Bank Ltd Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Limited.

Riza dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Bank Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura, masing-masing pada 18 Jun, 23 Oktober dan 14 November 2012.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!