PRK Mahkota: UMNO perlu pilih calon mudah dijual

Norliza
Norliza
A
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor mudah untuk dijual kepada pengundi perlu menjadi pertimbangan utama parti dalam memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota nanti.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ia mengambil kira kemenangan yang diraih Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

“Kalau tanya saya, faktor calon itu penting tapi sama ada berusia atau muda itu subjektif. Sebenarnya mereka (pengundi) suka calon yang sudah bekerja atau sama-sama dengan komuniti di situ.

“Sebagai contoh di Nenggiri calon kita ialah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau mesra dipanggil Awie, dia memang calon yang senang untuk kita bawa kerana dia sudah menjadi pegawai khas yang berkhidmat di sana (Nenggiri) selama 13 tahun.

“Jadi, beliau mesra dengan semua orang. Apabila namanya naik menjadi calon, maka produk kita akan senang dijual kerana sudah dikenali. Bagi saya faktor calon itu penting, begitu juga bagi bakal calon yang akan dipilih bertanding di DUN Mahkota nanti,” katanya ketika wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada faktor usia memainkan peranan penting bagi menarik sokongan pengundi pada pilihan raya.

Sementara itu, Norliza pada masa sama turut meminta agar kepimpinan UMNO mengekalkan kerusi DUN Mahkota kepada wanita.

“Besar harapan kita supaya peluang diberikan kepada calon wanita memandangkan DUN Nenggiri adalah calon pemuda. Jadi, kalau boleh biarlah di Mahkota ini kekal calon wanita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun memberi sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk memilih dan akan akur apa sahaja keputusan yang bakal dibuat nanti.

“Sebagai ahli parti yang akur dengan presiden, kita akan tetap bekerja bertungkus-lumus untuk pastikan kemenangan di DUN Mahkota (walaupun wanita tidak dicalonkan),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota, Johor pada 28 September.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!