‘UMNO bukan parti abah saya’ - Nurulhidayah
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] “Parti UMNO bukan milik individu. Bukan milik abah saya atau abah sesiapa pun. Ia milik kita semua,” tegas Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Menurutnya, setiap ahli perlu mempunyai rasa kesedaran dan memiliki sikap untuk mempertahankan parti itu bersama-sama tanpa mengira mana-mana individu yang memimpin parti tersebut.
“Siapa pun pemimpin tertinggi kita yang akan datang, saya yakin dengan semangat dan rasa kecintaan yang ada, parti ini pasti dipertahankan kerana UMNO bukan bahan dagangan sesiapa,” katanya semasa sesi perbahasan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.“Semua orang Melayu termasuklah yang belum menjadi ahli UMNO dan yang masih menunggu untuk masuk semula dalam saf pejuang parti.
Nurulhidayah turut mengakui bahawa ahli UMNO amat merindui sentuhan Bossku, iaitu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, kesungguhan Najib telah membawa negara ke mercu kecemerlangan dengan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan rakyat dan seluruh ahli UMNO.
“Di setiap bahagian yang saya hadiri sebagai perasmi, saya mendengar usul daripada perwakilan wanita agar Bossku diberikan keadilan dengan sebaik-baiknya. Semoga ada sinar buat beliau.
“Saya secara peribadi menyokong usul para perwakilan wanita agar kepimpinan tertinggi UMNO dapat terus menegakkan keadilan buat Bossku tanpa gagal dan jangan pernah putus usaha serta daya buat seorang pemimpin yang pernah bersama-sama kita dalam susah serta senang.
“Terkini, masih lagi berlangsung kejadian kepimpinan UMNO dipersalahkan, dicari kesalahan, terutamanya presiden sering diserang bertubi-tubi dari luar dan dalam.
"Beliau dihina, dimaki, dihamun, malah diberi panggilan dan gelaran yang tidak baik dengan niat untuk membunuh karakter seorang yang bergelar Presiden UMNO,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!