[VIDEO] 'Arus deras kepala air seperti tsunami' - Mangsa
TANJUNG MALIM - "Air naik laju melebihi paras kepala macam tsunami, saya hanya mampu beristighfar fikir mati."
Demikian kata Nor Fatihah Ahmad, 33, salah seorang daripada 21 mangsa yang berjaya diselamatkan selepas lebih 12 jam terperangkap di Taman Eko Risda di Kampung Ulu Slim dekat Slim River pada Sabtu.
Menurut guru Sekolah Agama Menengah Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor itu, dia tidak dapat menggambarkan perasaan ketika itu kerana memikirkan keselamatan dua anak yang berusia sembilan dan tujuh tahun.
"Bunyi kuat dengan arus deras bersama kayu-kayu besar sangat mengerikan. Kita biasa tengok kepala air tetapi kali ini luar biasa memang fikir hendak mati melihat air meluru laju masuk khemah.
"Segala makanan yang dibawa turut dihanyutkan sekali. Hanya tinggal roti yang dikongsi bersama sementara tunggu pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di sini.
Nor Fatihah berkata, kertas ujian milik anak murid dan komputer riba milik suami, Syis Abdul Kadir, 35, turut dihanyutkan arus dalam kejadian itu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Profesor Madya Dr Ibrahim Abu Bakar berkata, kejadian yang berlaku tidak sampai dua minit itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kuantan, Pahang itu berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga dan pengunjung lain turut melaungkan azan beberapa kali sampai hujan reda.
"Saya sempat selamatkan kereta manakala barangan lain termasuk khemah di tebing musnah, namun saya bersyukur kesemua 14 ahli keluarga dan keluarga sepupu terselamat.
"Kami semua berlindung di pos pengawal dan bermalam di dewan hingga keadaan mula reda," katanya.
Ibrahim berkata, dia hampir lemas hingga tenggelam dua kali ketika dibawa menyeberangi Sungai Geliting oleh pasukan penyelamat.
"Saya rasa boleh lakukan kerana biasa buat abseiling. Alhamdulillah dengan kecekapan pasukan penyelamat saya selamat menyeberangi sungai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!