Bangunan baharu Hospital Dungun mula operasi 1 Oktober

Bangunan baharu Hospital Dungun akan mula beroperasi pada 1 Oktober depan.
Bangunan baharu Hospital Dungun akan mula beroperasi pada 1 Oktober depan.
A
A
A

DUNGUN - Penduduk di daerah ini tidak lagi perlu bergerak jauh bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan apabila bangunan baharu Hospital Dungun memulakan operasi pada 1 Oktober depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital yang dibangunkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM153 juta itu disiapkan pada 25 Jun lalu.

Menurutnya, pembinaan hospital baharu itu bertujuan menaik taraf Hospital Dungun sedia ada daripada Hospital Tanpa Pakar kepada Hospital Pakar Minor melibatkan 11 bidang kepakaran.

Dr Dzulkefly ketika berucap sempena majlis penyerahan tiga kemudahan kesihatan di lobi Hospital Dungun pada Sabtu.
Dr Dzulkefly ketika berucap sempena majlis penyerahan tiga kemudahan kesihatan di lobi Hospital Dungun pada Sabtu.

"Bidang kepakaran melibatkan Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik & Ginekologi, Ortopedik, Anestesiologi & Rawatan Kritikal, Kecemasan & Trauma, Psikiatri, Radiologi, Patologi dan Pergigian (Oral Maksilofasial dan Pediatrik).

"Pertambahan kemudahan dan bidang-bidang kepakaran tersebut akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Kemaman dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis penyerahan projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lobi Hospital Dungun di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Zulkifli Abdul Rashad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, bilangan katil hospital tersebut turut ditingkatkan kepada 218 katil, empat dewan bedah dan enam katil di unit rawatan rapi (ICU).

"Peningkatan kemudahan yang ada di hospital ini dapat menjimatkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan temu janji Klinik Pakar," katanya.

Selain penyerahan projek Hospital Dungun, turut diadakan penyerahan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kota Putera, Besut dan Klinik Kesihatan (Jenis 7) Paya Datu, Kuala Terengganu.

Projek Klinik Kesihatan Kota Putera (Jenis 3) yang akan beroperasi pada 2 September depan siap sepenuhnya pada 10 Jun lalu dengan kos RM32.4 juta.

Klinik tersebut akan akan menggantikan klinik sedia ada yang telah ditutup pada 21 Julai 2024 dengan menawarkan 27 skop perkhidmatan merangkumi pelbagai aspek kesihatan.

Antara yang disediakan ialah perkhidmatan pesakit luar, rawatan penyakit kronik, penjagaan kesihatan ibu dan anak serta program program khas seperti klinik berhenti merokok dan klinik pergigian.

Penyerahan projek ketiga melibatkan Klinik Kesihatan Paya Datu yang akan mula beroperasi secara rasmi bermula 1 Oktober depan.

Klinik Kesihatan Jenis 7 itu akan menggantikan Klinik Desa Paya Datu yang bakal menawarkan perkhidmatan yang lebih komprehensif iaitu Unit Pesakit Luar, Unit Kesihatan Ibu dan Anak, Perkhidmatan Kecemasan dan Farmasi.

Perkhidmatan di klinik baharu itu akan melibatkan sebanyak 31 perjawatan berbanding klinik desa sebelum ini yang hanya mempunyai tiga orang Jururawat Masyarakat.

"KKM dan JKR sentiasa komited dalam memastikan semua projek pembangunan fasiliti kesihatan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan seluruh negara," ujar Dr Dzulkefly.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!