Tipu diculik demi bermalam dengan rakan lelaki

Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan rakan-rakannya di kawasan mangsa ditemui - Gambar hiasan 123RF
Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan rakan-rakannya di kawasan mangsa ditemui - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MERSING - Beri maklumat palsu kepada keluarga kononnya diculik semata-mata mahu bermalam dengan rakan lelaki.

Itu yang dilakukan seorang pembantu kedai yang sanggup menipu keluarganya sebelum ditemui berada di Rompin, Pahang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan berhubung seorang wanita berusia 24 tahun disyaki dilarikan lelaki tidak dikenali sekitar jam 5.23 petang, Khamis.

"Gerakan mencari mangsa dijalankan membabitkan pelbagai eleman dan hasil maklumat orang awam, wanita berkenaan telah ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan Rompin, Pahang.

"Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan rakan-rakannya di kawasan mangsa ditemui," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Razak berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 dan 26 tahun yang bersama wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan permohonan reman kepada ketiga-tiga tangkapan dibenarkan selama tiga hari sehingga Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Polis meminta orang ramai agar tidak memberi maklumat palsu kepada penjawat awam kerana merupakan satu kesalahan yang boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!