Wan Rosdy nafi tanah rizab Melayu di Pahang semakin kurang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tanah Rizab Melayu di negeri itu semakin berkurangan sebagaimana tular di laman TikTok.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, maklumat yang tersebar adalah fitnah dan permainan persepsi negatif untuk memburukkan kerajaan Pahang.

"Saya ingin menegaskan bahawa kawasan tanah rizab Melayu di negeri Pahang sejak tahun 1955 sehingga 2023 semakin bertambah daripada 218,326 hektar kepada 444,074 hektar berbanding keluasan negeri Pahang iaitu 3,597,206.68 hektar, iaitu pertambahan daripada 6 peratus kepada 12.34 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular satu hantaran di laman Tiktok yang mendakwa kawasan ranah rizab Melayu di Pahang kritikal dan hanya tinggal lima peratus.

Wan Rosdy memaklumkan, kerajaan Pahang sentiasa memastikan tanah rizab Melayu terus dipertahankan.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan.

"Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dan semaklah kesahihan terlebih dahulu dengan pihak berwajib," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!