Sukma 2024: 'Ibu segala pingat' milik Wilayah Persekutuan
[DIKEMAS KINI] ‘IBU segala pingat’ menjadi milik Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Melaka 2-1 pada aksi final acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Stadium Mukah pada Sabtu.
Kemenangan ini menyaksikan skuad bimbingan Muhammad Nidzam Adzha Yusoff mencatat nama selaku pemenang pingat emas bola sepak Sukma yang baharu.
Pada awal babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati mengatur gerakan dan banyak berlegar di kawasan tengah tanpa percubaan berbahaya.
Namun, Wilayah Persekutuan mula meningkatkan intensiti perlawanan untuk membuka akaun jaringan pada minit ke-19 menerusi tandukan Muhammad Harith Imran Hairee yang bijak menghidu peluang selepas kekalutan di depan pintu gol Melaka.
Tersentak dengan jaringan lawan, anak buah Mohd Noor Md Derus terus memperkemas permainan dan melancarkan beberapa siri serangan namun keampuhan barisan pertahanan Wilayah Persekutuan tangkas mematahkan serangan skuad muda Hang Tuah untuk menamatkan babak pertama dengan 1-0.
Ibarat mendapat suntikan baharu, Melaka berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan deras Mohamad Farish Ainun Aswadi pada minit ke-53 yang melencong masuk ke sebelah kiri menewaskan penjaga gawang Wilayah Persekutuan Mohammad Hafizy Nadzli.
Wilayah Persekutuan kembali agresif untuk menambah jaringan dan berhasil menerusi hantaran lintang Muhammad Harith ke dalam kotak penalti sebelum disambut Nu’man Hakim Abdul Rahman yang menanduk tepat ke dalam gawang pada minit ke-69, meletakkan Wilayah Persekutuan selesa 2-1.
Perlawanan yang pada awalnya sengit tetapi lancar bagaimanapun dicemari insiden pergaduhan sehingga menyebabkan penyerang skuad Hang Tuah dilayangkan kad merah setelah pengadil mengesan perkara berkenaan serta terdapat sentuhan terhadap pemain lawan pada minit ke-72.
Tidak kenal putus asa selagi wisel penamat tidak ditiupkan, Melaka dengan 10 pemain gigih mencari gol penyamaan namun pertahanan lawan menyerap segala asakan untuk mengekalkan kedudukan 2-1 hingga tamat masa tambahan diperuntukkan selama tujuh minit.
Sementara itu, penolong jurulatih Wilayah Persekutuan Rashmizan Rasid berkata pujian harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi setiap kali turun beraksi sejak daripada perlawanan peringkat kumpulan lagi.
"Perancangan dan strategi kami lakukan untuk menghadapi perlawanan akhir ini mengikut seperti yang kami mahukan. Tahniah saya ucapkan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan untuk pencapaian menakjubkan ini.
"Pada perlawanan tadi, seorang pemain Melaka dilayangkan kad merah. Kami mengambil kesempatan tersebut untuk mengubah strategi dengan bermain secara bertahan dan alhamdulillah ia memberi hasil yang baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Nu'man Hakim yang menjaringkan gol kemenangan Wilayah Persekutuan, enggan mendabik dada kerana keupayaannya melakukan jaringan itu adalah hasil semangat berpasukan yang diterapkan jurulatih.
"Gol kemenangan ini adalah rezeki untuk saya tetapi ia bukan pencapaian individu sebaliknya adalah usaha satu pasukan yang bermatian bermain hari ini. Semua memainkan peranan sangat penting.
"Barisan jurulatih juga sangat membantu kami dalam perlawanan tadi dengan mengawal emosi pasukan agar tidak terikut dengan apa yang berlaku dalam padang.
"Walaupun keadaan dalam padang agak kelam kabut tetapi jurulatih di tepi padang tidak berhenti memberikan nasihat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!