Subramaniam zahir penghargaan buat Norza
PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam menzahirkan penghormatan tertinggi di atas kepimpinan bekas presiden badan induk itu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Subramaniam yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden 1 berkata, Mohamad Norza berjaya meningkatkan reputasi BAM dan meninggalkan impak besar dalam arena sukan Malaysia terutamanya badminton selepas mula bersama badan induk tersebut sejak 2010.
Malah beliau berkata, keupayaan Mohamad Norza memimpin dengan hati dan fikiran menyebabkan beliau dihormati bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa.
"Sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Naib Presiden Majlis Olimpik Asia dan Presiden Kehormat Badminton Asia, beliau sudah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kehadiran Malaysia di pentas global.
"Kepintaran korporat dan komitmennya terhadap pembangunan masyarakat juga menyaksikan beliau berkhidmat dalam pelbagai lembaga dan jawatankuasa.
"Beliau juga sentiasa berusaha untuk memartabatkan masyarakat Malaysia melalui inisiatif strategik dan tadbir urus yang mantap," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Mohamad Norza yang mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM kali ketiga bagi tahun 2024 menunaikan janji pada Mei lalu untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden BAM berkuat kuasa pada Sabtu.
Subramaniam turut mendedahkan bahawa Mohamad Norza turut mementingkan aspek kebajikan para pemain dan barisan kejurulatihan yang dibuktikan menerusi peningkatan elaun serta insentif.
"Sejak awal lagi, Tan Sri menunjukkan keutamaannya ialah kesejahteraan pemain. Salah satu tindakan pertamanya sebagai presiden ialah meningkatkan elaun dan insentif untuk pemain dan jurulatih. Memberikan rasa selamat serta kestabilan dalam kerjaya mereka.
"Inisiatif ini adalah bukti komitmen beliau bagi memupuk bakat dan memastikan mereka yang mewakili negara berbuat demikian tanpa bimbang tentang ketidakpastian kewangan," katanya.
Di bawah kepimpinan Norza, BAM mencapai pelbagai kejayaan antaranya meraih gelaran dunia pertama Malaysia menerusi beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada 2022.
Malah, Aaron-Wooi Yik turut berjaya merangkul dua pingat gangsa masing-masing pada Sukan Olimpik iaitu di Tokyo 2020 dan Paris 2024.
"Kemenangan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris adalah detik kebanggaan yang amat besar buat Malaysia, mengukuhkan kedudukan kami sebagai pasukan yang hebat dalam badminton.
"Beregu wanita juga mara ke separuh akhir buat kali pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024, selain mereka juga mempamerkan konsistensi dan kecemerlangan di pentas dunia," ujar Subramaniam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!