Mohd Ridzlan tidak hilang, gagal dihubungi sebab tiada isyarat telefon
KOTA BHARU - Seorang pembantu kedai makan di Rembau, Negeri Sembilan lega apabila suami yang disangka hilang muncul selepas lapan hari tidak dapat dihubungi.
Norsyakilla Awang, 31, mengakui dia sangat bimbang kerana suaminya, Mohd Ridzlan Ahmad, 43, tidak menjawab telefon selepas keluar bekerja pada 13 Ogos lalu di satu daerah di Kelantan.
Norsyakilla berkata, suaminya yang baharu sebulan bekerja mengikut rakan menghantar barangan peralatan pembinaan dan paip ke beberapa lokasi termasuk di luar negeri itu.
"Bimbang memikirkan keadaannya, saya membuat laporan polis sebelum kemudian berkongsi gambar dan 'kehilangannya' di media sosial.
"Saya terfikir untuk berbuat demikian kerana mungkin ada yang mengenali suami dan boleh membantu jika dia dalam kesusahan," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Norsyakilla tidak tahu perkara itu tular sehingga ke kumpulan komuniti di Kelantan tetapi berpendapat mungkin ada yang bersimpati selepas melihat luahannya itu.
Menurut ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun itu, dia sangat bimbang dengan situasi kini kerana banyak kes kehilangan dan pembunuhan.
"Saya risau dan tidak sedap hati kerana dia tidak menjawab telefon dan WhatsApp, tambahan pula setiap hari kita dikejutkan dengan kes bunuh dan orang hilang," katanya.
Ketika suaminya 'hilang', wanita itu memberitahu, anak-anak selalu bertanya kerana terlalu rindukan bapa mereka.
"Anak kedua saya selalu membuka pintu untuk melihat keluar rumah, manakala anak bongsu yang paling rapat kerap dilihat bersedih dan menyebut bapanya," katanya.
Bagaimanapun jelas Norsyakilla, suaminya berjaya dihubungi pada Khamis dan memaklumkan lokasi yang dituju tidak mempunyai akses untuk telefon.
Tambah Norsyakilla, selepas ini dia akan mengambil nama rakan atau pengurus tempat suaminya bekerja bagi mengelakkan masalah sama berulang dan memastikan keselamatannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!