Anak bongsu Jokowi bersama isteri bercuti sakan ketika Indonesia dilanda protes
JAKARTA - Anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan isterinya berdepan kecaman warganet kerana mempamerkan percutian mewah di Amerika Syarikat (AS) ketika siri protes membantah rancangan untuk mengubah Undang-undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) sedang melanda negara itu.
Kebanyakan warganet turut mendakwa Kaesang Pangarep dan Erina Gudono menyewa jet peribadi untuk kunjungan mereka ke Amerika Syarikat (AS).
Spekulasi itu mula timbul apabila Erina menerusi perkongsian di Instagram menunjukkan imej tingkap pesawat yang jelas tidak seperti jet komersial.
Hasil 'siasatan' warganet mendapati tingkap itu sepadan dengan jet peribadi Gulfstream G650 malah data penerbangan juga mengesahkan ketibaan mereka di Washington pada awal minggu lalu ketika demonstrasi sedang memuncak.
Kadar sewa jet peribadi itu turut didedahkan warganet dengan perjalanan sehala dianggarkan melibatkan kos 4 bilion rupiah (RM1.2 juta) sekali gus mengundang kecaman pengguna media sosial kerana pasangan itu didakwa berbelanja secara berlebih-lebihan.
Ketika di AS, Erina sekali lagi mencetuskan kritikan apabila mempamerkan gaya hidup mewah dengan menikmati roti berharga 400,000 rupiah (RM119) di Grand Central Market di Los Angeles selain berbelanja sakan barangan keperluan bayi bersama kakaknya.
Perkongsian gambar sedemikian mengundang kemarahan warganet kerana pasangan tersebut didakwa tidak menjaga sensitiviti sedangkan kebanyakan rakyat Indonesia bergelut untuk meneruskan hidup. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!