Anwar adakan lawatan dua hari ke Brunei esok

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja selama dua hari di sini bermula esok bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei.

Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi berkata, Anwar dijadual mengadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada hari Isnin, dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di sini.

Beliau berkata, selepas pertemuan itu Sultan Hassanal Bolkiah berkenan untuk menyaksikan bersama Anwar beberapa instrumen dua hala melibatkan Malaysia dan Brunei dimeterai, antaranya yang melibatkan sempadan darat.

"Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin juga akan saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nur Ezira berkata, pada Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei itu juga, Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar akan meneliti semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu tertunggak melibatkan kedua-dua negara.

Beliau berkata, rundingan ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan

"Tambahan lagi tahun ini Malaysia dan Brunei menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik,” katanya.

Nur Ezira berkata, Anwar dijadual tiba pada 10.25 malam esok dan diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan:

Turut serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, timbalan-timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Tahun lepas Brunei merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan nilai dagangan berjumlah RM9.31 bilion (AS$2.04 bilion). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!