[VIDEO] Siren amaran akan dipasang di Sungai Slim

A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan Perak bercadang memasang siren amaran di Sungai Slim di sini sebagai amaran berlakunya kejadian bencana seperti kepala air yang berlaku pada Jumaat.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu dapat memastikan penduduk dan pengunjung mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia sekiranya hujan lebat dan banjir besar melanda.

Mohammad Nizar (kiri) bersama Lih Kang (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu pada Sabtu.
Mohammad Nizar (kiri) bersama Lih Kang (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini, belum ada lagi siren amaran dipasang di sepanjang sungai berkenaan.

"Insya-ALLAH kita akan buat permohonan pemasangan ini kerana kawasan ini sudah berlaku (kepala air).

"Mengikut pemantauan kita, apabila sudah berlaku kejadian kepala air, pada masa akan datang ia boleh berlaku lagi.

Siren amaran akan dipasang di Sungai Slim sebagai amaran berlakunya kejadian bencana seperti kepala air yang berlaku pada Jumaat yang mengakibatkan tiga jambatan runtuh.
Siren amaran akan dipasang di Sungai Slim sebagai amaran berlakunya kejadian bencana seperti kepala air yang berlaku pada Jumaat yang mengakibatkan tiga jambatan runtuh.

"Maka kena ada usaha untuk beritahu penduduk kampung supaya lebih berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam proses melihat dan mengkaji kesesuaian lokasi bagi pemasangan siren tersebut sepertimana diperuntukkan di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB).

Katanya, pelaksanaan PRAB, akan memberi tempoh masa yang mencukupi untuk agensi dan penduduk bertindak awal menghadapi banjir selain mengurangkan kerugian harta benda awam.

"Dengan asanya kemudahan siren ini, kalau berlaku lagi (kepala air) di kawasan ini, kita dapat diberitahu lebih awal," katanya.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, peruntukan bagi pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) akan datang.

Katanya, berdasarkan keperluan jambatan tersebut, kos diperlukan adalah lebih tinggi berbanding RM12 juta yang diluluskan bagi membina semula Jambatan Enggor di Karai yang runtuh tahun lalu.

"Itu (Jambatan Enggor) jambatan yang renik (kecil), tetapi di sini gotak (jambatan) besar, jadi kosnya apabila dibuat nanti pastilah melambung daripada itu.

"Saya akan cadangkan kerajaan negeri buat peruntukan atau kita akan minta daripada Kerajaan Pusat melalui Ahli Parlimen Tanjung Malim sendiri.

"Jika proses-proses ini dapat dipercepatkan, maka lebih cepat usaha membina semula jambatan dapat dilakukan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!