Final Piala FA: Debaran kesebelasan utama Selangor FC, JDT terjawab
TEKA-TEKI kesebelasan utama finalis Piala FA 2024, Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang sepak mula pada jam 9 malam terjawab.
Skuad Gergasi Merah akan diketuai kapten, Safuwan Baharudin di barisan pertahanan sambil dibantu Sharul Nazeem, Fazly Mazlan dan Harith Haikal, manakala Somerville bertindak selaku pemain terakhir di gawang.
Mengemudi di jentera tengah ialah Nooa Laine, Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Alexander Agyarkwa, manakala Noor Al-Rawabdeh dan Roni Fernandez menjadi taruhan Selangor FC untuk merobek gawang JDT.
Tonggak sensasi, Faisal Halim pula berada dalam senarai pemain simpanan dan kemungkinan pemain berusia 26 tahun itu diturunkan juga cerah susulan reaksi positif jurulatih Nidzam Jamil pada sidang media di Bukit Jalil pada Jumaat.
Lilitan kapten JDT pula dipakai oleh Matthew Davies sambil dibantu Shane Lowry dan Feroz Baharuddin di benteng, manakala Syihan Hazmi pula bertindak sebagai penjaga gol.
Enjin tengah skuad Harimau Selatan pula dibarisi Afiq Fazail dan Hong Wan, selain Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi dan Juan Muniz.
Penyerang sensasi, Bergson da Silva dan Heberty pula diberi tanggungjawab untuk meledak pintu gol Selangor FC.
JDT dalam misi memburu kejuaraan ketiga setelah memenangi trofi tersebut pada edisi 2023 selepas menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0 dan membawa pulang piala tersebut pada tahun 2022 selepas mengalahkan Terengganu 3-1.
Kali terakhir Selangor FC mara ke final Piala FA ialah pada 2018, namun terpaksa akur bergelar naib juara setelah tewas kepada Pahang 0-2.
Selangor yang bergelar juara lima kali trofi tersebut sebelum ini menjulang piala tersebut pada 2009 selepas menumpaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!