Ramli Orang Asli pertama anggotai MKT UMNO

Datuk Dr Ramli Md Nor
Datuk Dr Ramli Md Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Md Nor muncul wakil rakyat Orang Asli pertama dilantik menganggotai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat bagi menghargai sumbangan beliau ketika berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan baru-baru ini.

“Bagi menghargai sumbangan masyarakat Orang Asli terutamanya di Nenggiri dan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, dengan ini saya selaku Presiden UMNO mengambil keputusan bahawa Datuk Ramli untuk duduk dalam MKT,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.

Ramli sebelum ini juga menjadi Orang Asli pertama dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, merampas semula kerusi berkenaan untuk UMNO dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

BN memenangi kerusi Nenggiri selama empat pilihan raya berturut-turut sejak kawasan itu diwujudkan pada 2004 sebelum PN menerusi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menang kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) tahun lalu dengan majoriti 810 undi.

Kejayaan BN merampas kembali kerusi berkenaan turut disokong dengan undi tinggi masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!