Insiden kepala air: Bekalan air di Muallim pulih 40 peratus

Muhammad Nizar (kanan) semasa meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu pada Sabtu.
Muhammad Nizar (kanan) semasa meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu pada Sabtu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Gangguan bekalan air melibatkan ribuan pengguna di daerah Muallim telah pulih 40 peratus, kata Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, sehingga jam 5 petang pada Sabtu, penggunaan air di kawasan-kawasan yang terjejas akibat kejadian kepala air dan empangan pecah itu telah meningkat dan tiada lokasi yang mengalami krisis teruk.

Menurutnya, proses itu membolehkan beberapa kawasan seperti Hospital Slim River dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapatkan bekalan air bersih semula.

"Lembaga Air Perak (LAP) dalam proses mengganti dan memperkemas paip-paip yang perlu diperbaiki. Perkara itu boleh dilakukan segera.

"Dalam tempoh ini, sekurang kurangnya 40 peratus daripada jumlah bekalan air yang terputus sejak semalam telah kita kembalikan dan pulihkan," katanya selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini pada Sabtu.

Bermula Jumaat, LAP telahpun membekalkan enam tangki air bersih sebagai bekalan sementara disalurkan kepada penduduk.
Bermula Jumaat, LAP telahpun membekalkan enam tangki air bersih sebagai bekalan sementara disalurkan kepada penduduk.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

Muhammad Nizar berkata, bermula Jumaat, LAP telahpun membekalkan enam tangki air bersih sebagai bekalan sementara disalurkan kepada penduduk yang berada di kawasan jauh dan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, LAP juga mempunyai bekalan air simpanan yang kapasitinya mencukupi bagi penggunaan sehingga dua hari.

"Jika ada keperluan, kita akan tambah bekalan tangki supaya bekalan air ini dapat disalurkan kepada penduduk kampung," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan, gangguan bekalan air berlaku sejak semalam melibatkan 70 peratus daripada keseluruhan 12,000 pengguna akaun LAP.

Perkara itu berlaku berikutan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting di Ulu Slim yang pecah dan kerosakan pada paip utama akibat jambatan runtuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!