‘UMNO perlu lalui beberapa PRU untuk kembali dominasi kerajaan' - Johari
KUALA LUMPUR - UMNO perlu melalui dua atau tiga pilihan raya umum (PRU) bagi memastikan parti itu mendominasi kembali pentadbiran di negara ini.
Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam landskap politik yang bersifat dinamik parti tidak boleh terlalu leka dengan kejayaan sedia ada bagi mengembalikan semula kuasanya kepada generasi akan datang.
Menurutnya, tanggungjawab itu perlu digalas oleh semua sayap kepimpinan dan bukan terletak di bahu Presiden semata-mata.
"UMNO perlu berani mengambil idea dan perspektif baharu untuk mengekalkan kaitannya dalam landskap politik.
“Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan hanya di bahu presiden, ia perlu diletakkan pada bahu 191 ketua bahagian, 22,00 cawangan termasuk semua pemimpin yang duduk di majlis pada hari ini.
“Orang melayu jangan bergaduh. Kalau mereka bergaduh selalunya menang sorak kampung tergadai, manakala yang menang jadi arang yang kalah jadi api,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan naib presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, parti keramat orang Melayu itu perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara.
Ujar Dr Muhamad Akmal, bagi mencapai hasrat itu, sayap yang diterajuinya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka strategi terbaik.
Sementara itu, menurut Johari, UMNO perlu bersikap sederhana dan progresif bagi memastikan agenda tersebut dapat dicapai.
“Kita perlu bangkit dan jadikan UMNO lebih dinamik lebih segar, bersih, bersederhana dan progresif mewakili rakyat Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!