Industri automotif sasar sifar pekerja asing
KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasarkan sifar pekerja asing dalam industri automotif menjelang akhir tahun ini.
Ketika ini, terdapat kira-kira 220,000 pekerja dalam 641 syarikat industri automotif, 70,000 daripadanya adalah pekerja asing.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, pihaknya berharap sasaran itu mampu dicapai pada tahun ini, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.
“Sebagai permulaan, kami telah selesai mengadakan perbincangan dengan pengeluar kereta nasional. Perodua dan Proton juga kedua-duanya bersetuju untuk mengurangkan pekerja asing di semua 200 vendor tier 1 mereka yang kini berjumlah 40,000 orang.
“Malah kami juga giat mengadakan perjumpaan dengan pengeluar kereta lain pada tahun ini untuk tujuan sama,” katanya.
Menurut Madani lagi, semua pekerja asing yang bakal diberhentikan itu akan segera digantikan oleh pekerja tempatan.
Ini bermakna pada tahun 2020, akan ada 70,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan dalam industri automotif.
Tambahnya lagi, kerajaan telah mengurangkan perkhidmatan pekerja asing antara 32,000 hingga 35,000 orang di negara ini sejak 2014 hingga 2019.
Mengenai sama ada langkah itu akan meningkatkan kos kepada vendor, Madani berkata, ia adalah tidak benar berdasarkan kajian analisis kos yang dibuat pihaknya.
“Pekerja tempatan tidak akan balik ke negara asal berbanding pekerja asing. Jadi, majikan tidak perlu melatih semula pekerja tempatan ini berbanding terpaksa melatih semula mereka apabila pekerja asing tadi pulang ke negara asal. Itu akan meningkatkan kos latihan.
“Selain itu, kos levi pekerja asing yang perlu ditanggung oleh majikan tetapi tidak buat pekerja tempatan yang tidak dikenakan levi. Begitu juga kos pasport dan sebagainya. Jadi sebenarnya adalah lebih kompetitif secara menyeluruh untuk mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!