Pedro tumbangkan Manchester United di Brighton
BRIGHTON melakar kemenangan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila bangkit menewaskan pasukan pilihan Manchester United, 2-1 di Stadium Komuniti American Express pada Sabtu.
Bekas bintang The Red Devils, Danny Welbeck terlebih dulu meletakkan The Seagulls di depan pada minit ke-32 untuk memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Manchester United kendalian Erik ten Hag menggandakan asakan bagi menyamakan kedudukan, namun digagalkan ketumpulan penyudah.
Gol Red Devils akhirnya dijelmakan pemain Ivory Coast, Amad Diallo pada minit ke-60 selepas menterjemahkan sentuhan Noussair Mazraoui untuk mengikat kedudukan.
United kemudian berpeluang memimpin perlawanan, namun gol minit ke-72 dihasilkan pemain pasukan pelawat didapati ofsaid.
Jaringan itu tidak mengendurkan serangan angkatan Fabian Hurzeler yang kemudian dimanfaatkan Joao Pedro yang menyudahkan hantaran Simon Adingra pada minit ke-95.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Brighton selepas membuka kempen liga dengan tiga mata dibawa pulang dari Goodison Park setelah menewaskan Everton, 3-0 pada 17 Ogos lalu.
Sementara itu, ini kekalahan pertama anak buah ten Hag selepas bermula cemerlang dengan menewaskan Fulham 1-0 di Stadium Old Trafford juga pada 17 Ogos lalu.
Brighton selepas ini akan berdepan Crawley Town dalam perlawanan Pusingan Kedua Piala Liga pada 28 Ogos manakala Manchester United dikunjungi Liverpool bagi aksi liga pada 1 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!