[VIDEO] Ahmad Zahid sebak baca puisi khas buat Najib
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menahan sebak ketika membaca puisi khas ditujukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perasaan hiba itu turut dikongsi lebih 6,000 perwakilan yang berada dalam Dewan Merdeka bagi mengikuti hari kemuncak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada Sabtu.
Rata-rata mereka turut dilihat mengalirkan air mata kerana mengenangkan nasib bekas presidennya yang kini menjalani hukuman di penjara.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri tampil membaca Puisi Buat Sahabat sebagai penutup sesi penggulungan ucapan dasar Presiden yang ditujukan khas kepada rakan karibnya itu.
Menerusi puisi berkenaan, beliau berikrar untuk membebaskan Najib susulan isu berkenaan antara paling banyak dibangkitkan perwakilan.
Perwakilan Pahang antaranya meminta kepimpinan tertinggi UMNO memberi penjelasan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Setiausaha Pemuda UMNO Pahang, Mohd Azly Norzan berkata, ini kerana perkara tersebut masih tergantung dan mencetuskan persoalan sehingga kini.
Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!