'Selamat jalai' Sarawak, jumpa di Selangor 2026
SARAWAK mengucapkan ‘Selamat Jalai’ atau ‘Selamat Tinggal’ dalam bahasa Iban kepada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang menutup tirai hari ini selepas 13 hari menyaksikan atlet muda bersaing dengan semangat juang yang tinggi untuk memburu kejayaan gemilang.
Obor temasya sukan dwitahunan kebangsaan yang dinyalakan secara rasmi pada Sabtu lepas dipadamkan malam ini dalam upacara yang berlangsung di Stadium Perpaduan di sini.
Penutupan rasmi temasya yang menawarkan 488 pingat emas membabitkan 37 jenis sukan di pelbagai venue di sembilan bahagian di Sarawak, disertai lebih 12,000 atlet dan pegawai, disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Teka-teki atlet terbaik Sukma 2024 terjawab apabila perenang Selangor, Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie diumum sebagai Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik manakala tuan rumah Sarawak pula muncul juara keseluruhan dengan merangkul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.
Andrew dan Chen Jie masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan dan piala iringan yang disampaikan Perdana Menteri.Kontinjen Wilayah Persekutuan menamatkan temasya Sukma 2024 di tempat kedua dengan 75 emas, 65 perak dan 72 gangsa manakala Selangor 56-64-61.
Persembahan bertemakan kesatupaduan dalam kepelbagaian bangsa, agama serta budaya diterjemahkan dalam tarian pembukaan 'Sporty Dance' oleh 230 pelajar sekolah rendah dimulakan gimnas cilik Kaiya Malaika Mohd Fareez, yang turut memaparkan semangat juang 'Agi Idup Agi Ngelaban’ dan 'Segulai Sejalai'.
Upacara penutupan rasmi temasya dengan perarakan masuk 14 kontinjen negeri yang bertanding serta kontinjen jemputan Brunei, didahului kontinjen Jalur Gemilang dari Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia diketuai Pegawai Waran II Wan Mohd Razmie Wan Hasan.
Sebagai simbolik kepada berakhirnya temasya Sukma 2024 di Bumi Kenyalang, bendera kejohanan yang dikibarkan sejak 17 Ogos lepas diturunkan oleh sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diketui Leftenan Madya Syful Mirza Alluwie.
Serentak dengan turunnya bendera kejohanan, obor temasya dipadam dengan iringan lagu tema ‘Sukma Sarawak, Kesukanan dalam Perpaduan’ nyanyian artis kelahiran Sarawak, Bob Yusof.Sebaik penyerahan bendera temasya oleh Abang Johari kepada Menteri Besar Selangor selaku tuan rumah edisi ke-22 pada 2026, upacara penutupan disusuli dengan persembahan ‘Joget Selangor’.
Walaupun diadakan di dalam stadium tertutup, upacara penutupan malam ini disaksikan kira-kira 2,000 hadirin tetap gah dengan pertunjukan cahaya artistik dan pancaran laser yang memukau.
Persembahan kumpulan De Fam dan kemunculan Ratu Rock Ella yang mendendangkan lagu keramat ‘Standing In The Eyes Of The World’ turut memeriahkan upacara penutupan.
Pertunjukan bunga api mengakhiri upacara penutupan Sukma 2024, yang turut ditayangkan menerusi skrin di dalam Stadium Perpaduan selain disaksikan orang ramai di Dataran Perayaan.
Sukma diperkenalkan pada 1986 dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan kebangsaan itu pada 1990 dan 2016. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!